AM

AGROBANK, FAMA PERKUKUH USAHAWAN TANI MELALUI SKIM PEMBIAYAAN MIKRO

23/05/2026 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA dilancarkan hari ini bagi membantu pertumbuhan usahawan tani, khususnya dalam memperkukuh operasi perniagaan, meningkatkan daya tahan kewangan serta mengembangkan perniagaan golongan berkenaan.

Majlis berkenaan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengadakan lawatan di Pasar Tani Taman Melawati di sini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata skim itu adalah pakej komprehensif hasil kerjasama strategik antara Agrobank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Skim itu merangkumi pembiayaan, penabungan, perlindungan takaful, transaksi digital serta latihan keusahawanan percuma dalam aspek pengurusan kewangan dan pemasaran.

“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Agrobank dalam menyediakan kemudahan pembiayaan yang relevan dan inklusif kepada komuniti agromakanan, selaras dengan peranannya sebagai institusi kewangan pembangunan yang memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara,” katanya menerusi kenyataan.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata Agrobank dan FAMA menyasarkan 1,000 usahawan tani untuk menerima manfaat melalui kemudahan pembiayaan mikro dengan jumlah pembiayaan maksimum sehingga RM100,000 bagi setiap pelanggan di bawah inisiatif berkenaan.

Beliau berkata skim itu menawarkan kadar keuntungan serendah 2.5 peratus setahun dan permohonan dibuka sehingga 31 Dis 2026, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

“500 pelanggan terawal yang layak dan memohon Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA akan menerima manfaat pembiayaan mikro bersama barangan eksklusif Agrobank,” katanya.

Bagi menyokong pendigitalan perniagaan, beliau berkata Agrobank juga akan menyediakan 200 unit DuitNow QR SoundBox secara percuma kepada pelanggan terpilih yang layak bagi menggalakkan penggunaan DuitNow QR Agrobank, memudahkan pengesahan bayaran secara lebih cepat dan selamat serta meningkatkan penyertaan usahawan tani dan peniaga kecil dalam transaksi tanpa tunai.

Melalui kerjasama strategik bersama FAMA itu, beliau berharap ia juga dapat memberi impak langsung kepada usahawan tani melalui akses pembiayaan yang lebih mudah dan patuh Syariah.

“Inisiatif ini juga diharap dapat memperkukuh daya tahan perniagaan mikro serta menyokong pertumbuhan sektor agromakanan negara secara lebih inklusif dan mampan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.agrobank.com.my atau kunjungi cawangan Agrobank berdekatan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan