KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agensi berkaitan mempergiat usaha turun padang untuk memberi penerangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai kemudahan pembiayaan dan bantuan yang disediakan kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu penting bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada menikmati pelbagai inisiatif yang diwujudkan khusus untuk membantu meningkatkan pendapatan dan mengembangkan perniagaan mereka.
“Terdapat beberapa orang (peniaga) yang tidak tahu lagi mengenai kemudahan yang ada. Jadi saya minta agensi berkaitan turun dan berikan penjelasan,” kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Tani Taman Melawati, di sini, hari ini.
Beliau berkata golongan penjaja dan peniaga kecil perlu terus diberi perhatian kerana walaupun jumlah yang besar mencecah ratusan ribu orang, namun mereka tidak mempunyai saluran yang kuat untuk menyuarakan pandangan.
Anwar berkata semasa lawatan tersebut beliau menerima maklum balas yang positif daripada penjaja dan peniaga kecil dengan kebanyakan mereka bersyukur kerana berpeluang memperoleh kemudahan pembiayaan mikro yang disediakan kerajaan dan agensi berkaitan.
“Saya tanya sama ada ada masalah, sama ada boleh dapat pinjaman dan mampu membayar balik pinjaman. Alhamdulillah, maklum balas yang diterima amat menggalakkan.
“Kebanyakannya dapat pinjaman RM10,000 pun sudah sangat bersyukur dan berterima kasih kepada badan-badan serta agensi yang membantu,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata antara isu dibangkitkan peniaga ialah harga beberapa barangan keperluan yang dibeli pada kadar agak tinggi, namun masalah itu dapat dikurangkan menerusi peranan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membantu menyediakan bekalan pada harga lebih berpatutan.
Kerajaan MADANI sebelum ini mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi 2026, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 usahawan mikro yang melibatkan pinjaman hingga RM100,000, dengan kadar pembiayaan bagi skim tertentu serendah empat peratus setahun.
-- BERNAMA
