
Tidak ubah seperti babak filem aksi Hollywood “The Fast and the Furious: Tokyo Drift” yang ditayangkan kira-kira 20 tahun lalu, kereta mengekor selekoh sempit dengan penuh ketepatan, sementara bunyi tayar mencengkam lantai dan deruman enjin bergema, melantun pada dinding konkrit.
Namun, tidak seperti versi sinematiknya, suasana di medan kereta bawah tanah Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines di Seri Kembangan, Selangor ini lebih terkawal dan teratur.
Setiap gelinciran dikawal, setiap pergerakan dilakukan dengan tepat, memastikan sukan permotoran “drift” itu berlangsung dalam persekitaran yang selamat untuk pemandu dan juga penonton.
Kira-kira 20 pelumba drift profesional yang menyertai acara tiga hari “Drift Underground” anjuran Cargasm bulan lalu berkongsi matlamat yang sama: mencipta drift paling sempurna dan meraih sorakan gemuruh daripada penonton.
(Drifting ialah teknik pemanduan melibatkan pemandu sengaja menyebabkan tayar belakang hilang cengkaman dan meluncur, sambil mengawal stereng serta pedal minyak untuk mengekalkan kawalan kenderaan.)
Di Malaysia, sukan drift yang sekian lama dikaitkan dengan budaya jalanan bawah tanah serta pemanduan berbahaya dan melulu, kini beransur-ansur dibentuk semula dalam suasana lebih terkawal, berperaturan dan tersusun dalam arena sukan permotoran akar umbi menerusi platform drift seperti Cargasm, bahkan mencipta ruang untuk pemandu menjana pendapatan.
Acara Drift Underground baru-baru ini merupakan edisi ketiga, dua yang terdahulu berlangsung pada 2024 dan 2025, menampilkan sesi drift tersusun, pengalaman menaiki kereta drift serta pelbagai aktiviti sokongan yang bertujuan membawa sukan itu kepada khalayak lebih luas.
Namun, edisi terbaharu itu adalah yang pertama dianjurkan secara bebas.
“FAST & FURIOUS”
Pengasas bersama Cargasm, Chen Wing Hong, 30, yang lebih dikenali sebagai Wing dalam komuniti drift, berkata dua edisi awal Drift Underground diadakan sebagai sebahagian daripada pameran automotif, dengan segmen drift dikendalikan dalam rangka acara yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata penganjuran secara bebas itu membolehkan penganjur menilai kemampuan acara tersebut dalam menarik kehadiran khalayak serta mengekalkan penyertaan peserta.
pic-2
Menurut Chen, edisi akan datang berkemungkinan menggunakan gabungan format kendiri dan kerjasama, bergantung pada hasil yang diperoleh, bagi “membolehkan kami lebih memahami asas audiens dan kemampuan operasi di luar persekitaran acara berskala besar”.
Tambahnya, selain Lembah Klang, aktiviti drift akar umbi turut berlangsung di kawasan lain termasuk Pulau Pinang, menunjukkan kewujudan komuniti yang lebih besar walaupun masih bersifat eksklusif.
Beliau berkata Drift Underground, yang mendapat kelulusan badan pentadbir sukan permotoran negara Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), sebahagiannya dipengaruhi oleh filem The Fast and the Furious: Tokyo Drift yang membantu membentuk persepsi global terhadap drift sebagai subbudaya jalanan.
AKTIVITI EKONOMI
Berkongsi perjalanan beliau dalam dunia drift dengan Bernama, Chen berkata beliau tidak mempunyai latar belakang atau hubungan dalam bidang sukan permotoran ketika mula-mula terjebak.
Sebaliknya, beliau pernah bekerja sebagai pencipta kandungan bebas dalam bidang pemasaran dan pengiklanan dengan menghasilkan video automotif serta kandungan makanan ASMR (autonomous sensory meridian response), sebelum menceburi bidang kecergasan buat seketika.
pic-3
Titik perubahan berlaku apabila beliau diperkenalkan kepada drift oleh seorang lagi peminat sukan itu, Beysshwen Dasnamurthy, 28, yang mendorongnya mengikuti latihan formal sebelum akhirnya menyertai acara drift.
Chen dan Beysshwen kemudian menubuhkan Cargasm pada 2021, yang kini berkembang menjadi platform penganjuran acara drift selain melatih pemandu dan membina komuniti.
Beliau turut melihat Drift Underground sebagai platform aktiviti ekonomi. Setiap pusingan acara bukan sahaja menghimpunkan pemandu, malah komuniti automotif yang lebih luas sambil mewujudkan peluang pendapatan untuk peserta.
Beliau berkata model “drift taxi”, iaitu penonton membayar untuk merasai pengalaman menaiki kereta drift bersama-sama dengan pemandu ketika acara berlangsung, kini menjadi mekanisme utama untuk pemandu menjana pendapatan.
“Mereka akan dibayar bagi setiap perkhidmatan drift taxi. Ada antara mereka (pemandu) mampu memperoleh RM3,000, RM4,000 malah RM5,000 pada setiap acara,” katanya.
Format itu juga membuka akses lebih luas kepada sukan berkenaan dengan membolehkan peminat baharu merasai sendiri pengalaman drift dan pada sama memberi sokongan kewangan kepada pemandu.
Mengenai sambutan terhadap acara mereka, Chen berkata edisi pertama Drift Underground menerima kira-kira 1,000 hingga 2,000 penonton. Jumlah itu meningkat tiga kali ganda pada tahun berikutnya, manakala edisi tahun ini menarik lebih 10,000 pengunjung termasuk pelawat dari Australia, Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland dan United Kingdom yang datang semata-mata untuk menghadiri acara itu.
“Dalam Drift Underground 2026 baru-baru ini, kira-kira 2,000 tiket drift taxi terjual, sesuatu yang agak luar biasa bagi kami kerana kami tidak menjangkakan jumlah sebesar itu. Para pemandu drift juga sangat gembira kerana ada antara mereka berjaya meraih pendapatan mencukupi untuk menampung kos mereka,” katanya.
KESELAMATAN DAN PEMATUHAN
Di sebalik perkembangan positif itu, sukan drift masih bergelut dengan imejnya sebagai aktiviti jalanan, yang sering dipengaruhi rakaman tular aksi drift haram di jalan raya.
Chen berkata kandungan yang dihasilkan oleh Cargasm disusun secara khusus untuk menampilkan aktiviti drift dalam persekitaran terkawal, bukannya sebagai aktiviti jalanan tidak rasmi.
pic-4
Menurutnya, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menekankan amalan yang betul serta mengubah persepsi masyarakat terhadap sukan tersebut agar dilihat sebagai aktiviti yang lebih selamat dan tersusun.
Tambah beliau lagi, acara seperti Drift Underground diadakan di lokasi yang mendapat kebenaran, dengan permit diperoleh daripada MAM dan polis, iaitu satu proses yang boleh mengambil masa hingga enam bulan.
“Jika kami mahu menjadikan drift lebih tersusun dan lebih profesional, kami perlu melakukannya dengan cara yang betul,” tegasnya.
Walaupun minat terhadap drift kian meningkat, kekangan struktur masih wujud.
Akses kepada lokasi yang sesuai semakin terhad, khususnya apabila pembangunan bandar mengurangkan ruang terbuka yang sebelum ini digunakan pemandu drift akar umbi.
Chen berkata lokasi seperti Stadium Shah Alam yang suatu ketika dahulu menjadi tempat latihan biasa bagi pemandu kini tidak lagi boleh digunakan, sekali gus mengurangkan lagi pilihan untuk penggiat sukan itu.
Kos juga menjadi penghalang, terutama bagi mereka yang mahu beralih ke arena sukan permotoran kompetitif.
Walaupun kereta drift peringkat permulaan boleh dibina dengan kos agak sederhana, pembinaan kereta profesional memerlukan pelaburan jauh lebih tinggi, sekali gus mengehadkan perkembangan pemandu akar umbi, kata Chen.
“Bagi kereta drift biasa atau akar umbi, anda boleh membinanya dengan kos RM30,000 hingga RM50,000 dan pastinya tidak melebihi RM100,000. Namun, untuk kereta profesional, RM200,000 hanya harga permulaan. Malah ada yang mencecah sekitar RM1 juta, termasuk aksesori seperti gentian karbon,” katanya.
Selain menganjurkan acara drift, Cargasm turut mengendalikan Drift Academy yang menawarkan program latihan drift menyeluruh serta sesi bimbingan perseorangan untuk semua, daripada yang baru bermula kepada pemandu berpengalaman.
Menurut Chen, akademi itu telah menarik lebih 400 pelajar sepanjang dua tahun lalu dengan kebanyakan mereka menyertai drift hanya sebagai aktiviti rekreasi.
pic-5
Menyentuh dunia drift di Malaysia, Chen berkata ketika ini terdapat lebih 10 platform berkaitan drift di negara ini dengan sebahagiannya menumpukan pada acara drift santai, sementara yang lain memfokuskan pada pertandingan dan sebahagian lagi menggabungkan pameran automotif dengan pertunjukan drift.
Selain itu, beliau juga mendapati acara tersebut kini menarik minat pelbagai golongan.
“Dulu aktiviti ini sangat ‘niche’, tetapi sekarang kami melihat pasangan, keluarga, pelancong dan remaja menyertai akademi kami. Pernah sekali datuk, ayah dan anak menyertai kelas drift bersama-sama… tiga generasi belajar drift...memang menakjubkan,” katanya, menambah, “Bagi saya, drift sedang berkembang daripada sekadar sukan permotoran menjadi satu gaya hidup.”
Mengenai kelompok bakat drift di Malaysia ketika ini, Chen berkata beliau melihat sekitar 30 hingga 40 pemandu profesional menyertai setiap pertandingan.
“Memang sukar untuk menjadi pemandu drift profesional di Malaysia kerana agak susah mencari pendapatan hanya melalui pertandingan drift memandangkan jumlah hadiah, penaja dan penonton masih di peringkat bertumbuh,” katanya, menambah yang beliau kagum melihat begitu ramai pemandu drift berbakat di Malaysia, namun kebanyakannya hanya suka-suka.
