AM

JURUGAMBAR IMBAU CABARAN CUCI GAMBAR SECARA MANUAL DI GUNUNG EVEREST

26/05/2026 04:26 PM

Oleh Mohd Azrin Muhammad

SHAH ALAM, 26 Mei (Bernama) -- Ketika Malaysia meraikan kejayaan bersejarah menawan Gunung Everest pada 1997, tidak ramai mengetahui bahawa seorang jurugambar turut bertarung dengan cuaca ekstrem, keletihan dan risiko kegagalan demi memastikan detik itu dapat disaksikan rakyat di tanah air.

Dengan suhu mencecah antara -19 hingga -36 darjah Celsius, Mohd Noor Mat Amin, 59, yang bertugas di Utusan Malaysia ketika itu menggalas tanggungjawab besar merakam dan menghantar visual kejayaan M Magendran dan N Mohanadas memacak Jalur Gemilang di puncak tertinggi dunia pada 23 Mei 1997.

Mengimbau pengalaman mengikuti Projek Malaysia-Everest ‘97 hampir tiga dekad lepas, anak kelahiran Kuala Terengganu itu berkata segala proses rakaman dan penghantaran gambar dilakukan sepenuhnya secara manual tanpa bantuan teknologi digital seperti hari ini.

Katanya, cabaran terbesar ialah memastikan setiap negatif filem diproses dengan sempurna agar visual yang tepat dan sahih dapat diterbitkan untuk tatapan rakyat Malaysia pada keesokan hari.

“Pada waktu itu, keaslian gambar adalah segala-galanya kerana kami bekerja sepenuhnya dengan sistem analog menggunakan kamera lensa refleks tunggal (SLR) yang tidak membolehkan sebarang manipulasi atau jalan pintas teknologi seperti ditawarkan kecerdasan buatan (AI) hari ini.

“Proses dilakukan di Everest Base Camp yang terletak kira-kira 5,000 meter dari paras laut. Setiap filem dirakam perlu dimasukkan ke dalam beg gelap sebelum digulung menggunakan peralatan khusus bagi memastikan imej asli tidak rosak akibat terkena cahaya,” katanya kepada Bernama.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang fotografi, Mohd Noor berkata beliau membawa pelbagai peralatan seperti kamera, mesin pengimbas, telefon satelit, komputer riba dan kelengkapan mencuci filem seberat hampir 50 kilogram yang terpaksa diangkut menggunakan khidmat tiga orang porter dari pekan Lukla.

Bapa kepada lima anak itu berkata proses mencuci filem secara manual di kawasan ekstrem memerlukan ketelitian tinggi, terutama dalam mengawal suhu air dan tindak balas bahan kimia kerana suhu yang tidak stabil, khususnya dalam keadaan sejuk melampau, boleh merosakkan filem.

Beliau berkata air panas bersuhu sekitar 38°C perlu digunakan untuk merendam dua bahan kimia utama iaitu colour developer dan bleach-fix bagi memastikan suhu kekal stabil 38 hingga 40 darjah Celsius.

“Selepas tindak balas kimia selesai, filem akan dibasuh dengan air bersuhu 25 hingga 30 darjah Celsius selama kira-kira tiga minit bagi menstabilkan emulsi. Jika suhu berubah secara mendadak akibat cuaca, proses boleh gagal dan perlu diulang daripada awal, yang memberi tekanan emosi kepada jurugambar,” katanya.

Mohd Noor berkata negatif filem siap diproses akan dikeringkan sebelum diimbas menggunakan mesin khas untuk ditukar kepada format digital dan hasil imej kemudian dihantar melalui sambungan satelit yang mengambil masa sekitar dua hingga empat jam bergantung kepada kelajuan isyarat.

“Semua gambar yang telah diimbas, termasuk potret ikonik memaparkan wajah serta emosi fizikal barisan pendaki kelesuan menempuh laluan Khumbu Icefall, akan dilengkapi dengan kapsyen sebelum dihantar menerusi sambungan telefon satelit.

“Ada kalanya saya berdepan kegagalan untuk menghantar gambar disebabkan kelajuan modem komputer yang digunakan ketika itu amat rendah, berbanding kemudahan rangkaian Internet atau satelit moden pada hari ini,” katanya.

Mohd Noor berkata pengalaman di Everest bukan sahaja menguji kemahirannya sebagai jurugambar, malah membentuk ketahanan mental dan fizikal diri hingga mendorong beliau mencipta pelbagai pencapaian dalam dunia pendakian selepas itu.

Beliau juga menerima pelbagai pengiktirafan Malaysia Book of Records, termasuk menerusi pendakian solo Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali pada 2010.

Kini menetap di Pokhara, Nepal, Mohd Noor mendirikan rumah tangga dengan wanita Nepal pada penghujung 2022 dan bersama-sama mengusahakan syarikat pelancongan serta pendakian di negara itu.

Bersara daripada dunia fotografi pada 2018, beliau berharap semangat kewartawanan lapangan serta nilai integriti dalam penyampaian maklumat terus diperkukuh selari dengan tema sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, yang menurutnya amat bertepatan dengan cabaran kewartawanan masa kini.

“Saya berharap wartawan dan jurugambar muda tidak terlalu bergantung kepada kepantasan teknologi hingga mengabaikan usaha turun sendiri ke lapangan bagi mendapatkan maklumat dan visual yang benar-benar sahih.

“Semangat kewartawanan lapangan serta pegangan terhadap etika profesional perlu terus dipertahan terutama ketika dunia berdepan lambakan maklumat dan manipulasi visual akibat perkembangan teknologi digital,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan