AM

ETCON26: TUMPUAN PEMIMPIN NEGARA, HIMPUN PEMAIN INDUSTRI PERKUKUH AGENDA PERALIHAN TENAGA

01/06/2026 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bakal berlangsung dari 3 hingga 5 Jun ini akan menjadi medan perbincangan agenda peralihan tenaga melibatkan pemimpin utama negara dan industri.

Ketua Pegawai Kanan Strategi, Regulatori dan Kelestarian TNB Datuk Ir Muhamad Nazri Pazil berkata persidangan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof yang akan menyampaikan ucaptama khas pada hari pertama.

Turut dijangka hadir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah, serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

 Muhamad Nazri berkata ETCon26 menghimpunkan pakar industri termasuk pembuat dasar, pelabur, ahli akademik serta pemegang taruh lain daripada lebih 60 buah negara, melibatkan 4,000 orang delegasi sepanjang tiga hari persidangan.

“Selain itu, lebih kurang 80 penceramah meliputi pelbagai sektor akan berkongsi kepakaran, pandangan serta solusi dalam kita mencari kaedah terbaik untuk mewujudkan ekosistem tenaga yang mampan, bersih dan cekap, tidak hanya buat Malaysia malah untuk seluruh rantau ASEAN,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “ETCON26 - Menguasakan Fasa Peralihan Tenaga Negara dan ASEAN” baru-baru ini.

Beliau berkata ETCon26 yang bertemakan “Energy and AI: The Synergy for Energy Transition” juga akan menjadi platform strategik untuk memperkukuh kerjasama tenaga serantau termasuk merealisasikan inisiatif ASEAN Power Grid (APG).

Katanya kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah ASEAN serta infrastruktur grid negara yang stabil memberi kelebihan untuk negara memainkan peranan sebagai peneraju tenaga pintar di rantau ini.

“Inisiatif APG membolehkan negara-negara anggota ASEAN berkongsi sumber tenaga merentasi sempadan. Misalnya, negara-negara jiran dapat membantu ketika terdapat permintaan tenaga yang tinggi pada satu-satu negara. Mungkin ada pengurangan tenaga disebabkan situasi tertentu, maka kita boleh pinjamkan tenaga itu kepada mereka,” katanya.

Muhamad Nazri berkata selain Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP), terdapat lima lagi projek tenaga rentas sempadan sedang dirancang termasuk melibatkan Vietnam, Sarawak, Thailand dan Singapura.

Sehubungan itu, beliau berkata persidangan itu bukan sekadar platform wacana, tetapi akan diterjemahkan kepada tindakan susulan termasuk pelaksanaan kira-kira 17 pertukaran kerjasama strategik dan pelancaran inisiatif baharu.

Katanya persidangan tersebut akan turut menyaksikan pelancaran projek solar terapung yang terbesar di rantau Asia Tenggara, bertujuan bagi menyokong peningkatan permintaan elektrik khususnya daripada pusat data yang berkembang pesat di negara ini.

“Ketika ini, sebanyak 36 pusat data telah siap dibangunkan dengan keperluan tenaga mencecah 4.5GW, manakala 23 lagi sedang dalam pembinaan,” katanya.

Muhamad Nazri berkata TNB turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain termasuk projek loji gas berskala besar dan pemodenan grid bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil, berdaya harap dan mampu menyokong agenda peralihan tenaga negara.

“Ada tiga perkara yang kita akan pastikan. Pertama, untuk membentuk bekalan tenaga yang mencukupi dan terjamin.

“Kedua, untuk mempertingkatkan sistem grid kita supaya kekal stabil dan berdaya harap, membolehkan integrasi tenaga baharu dipercepatkan dan diperbanyakkan. Ketiga, kita harus memastikan segala inisiatif yang dilaksanakan ini memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Menurut beliau, TNB juga sedang mempercepat transformasi grid pintar negara termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemasangan meter pintar yang dijangka mencecah sembilan juta unit menjelang 2027.

“Grid pada masa kini tidak bergerak sehala seperti dahulu, ia lebih pintar dan dapat mengenal pasti pergerakan arus dengan lebih efektif. Penambahbaikan seperti ini memastikan bekalan tenaga yang lebih stabil, berdaya tahan dan seterusnya memberi manfaat langsung kepada pengguna,” katanya.

ETCon26 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 3 hingga 5 Jun ini. Untuk maklumat lanjut mengenai persidangan ini, layari https://the-etconference.com.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan