AM

RTM RAIKAN PEMBUKAAN PIALA DUNIA FIFA 2026, HIMPUN KOMUNITI BOLA SEPAK DI ANGKASAPURI

12/06/2026 02:26 AM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini meraikan pembukaan Piala Dunia FIFA 2026 menerusi Majlis Tayangan Siaran di Angkasapuri di sini, yang menghimpunkan pengamal media, penaja, penggiat industri dan peminat bola sepak.

Majlis berkenaan turut menayangkan siaran langsung upacara pembukaan FIFA 2026 serta perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan, sekali gus menyemarakkan suasana kejohanan dalam semangat muhibah dan kebersamaan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail, Duta Besar Mexico ke Malaysia Luis Javier Campuzano dan Charge d’Affaires Suruhanjaya Tinggi Republik Afrika Selatan ke Malaysia Alleta Maseko.

Sebagai Penyiar Rasmi kejohanan, RTM akan menyiarkan secara langsung kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 menerusi saluran Okey dan Sukan+, TV1 dan TV2, selain membawakan liputan menyeluruh melalui program Grandstand, analisis perlawanan, sorotan harian dan pelbagai kandungan khas sepanjang kejohanan berlangsung.

RTM dalam kenyataan memaklumkan komitmen berkenaan mencerminkan peranannya sebagai penyiar awam yang sentiasa memastikan akses kepada kandungan sukan bertaraf dunia dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang dan lokasi.

“Keupayaan untuk membawakan 104 perlawanan ini berjaya direalisasikan hasil sokongan padu dan sinergi rakan penaja iaitu Unifi TV selain RTM sebagai Penyiar Rasmi, celcomdigi, Unifi dan UMobile sebagai Penaja Siaran mencerminkan kesungguhan sektor korporat dalam menyokong usaha murni kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang fasa awal kejohanan, RTM turut menyusun jadual penyiaran bagi beberapa perlawanan tumpuan menerusi saluran Sukan+ dan Okey, termasuk perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan pagi ini, kedua-dua aksi separuh akhir pada 15 dan 16 Julai (2 pagi), perlawanan penentuan tempat ketiga pada 19 Julai (4 pagi) serta perlawanan akhir pada 20 Julai (1.30 pagi).

Selain siaran televisyen, orang ramai boleh mengikuti perkembangan menerusi platform digital RTM termasuk tiga saluran khas RTMKlik iaitu FIFA WC1, FIFA WC2 dan FIFA WC3 yang disediakan sepanjang kejohanan berlangsung.

Versi baharu RTMKlik juga kini tersedia menerusi kemas kini kepada versi 4.0.5 bagi menawarkan pengalaman tontonan lebih baik serta akses kepada kandungan dan saluran terkini.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk 360 Photo Booth, street soccer, food truck, permainan dan kuiz yang disediakan oleh rakan strategik serta penaja.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan