AM

RUKUN NEGARA ASAS PENTING PERPADUAN YANG PERLU DIHAYATI - YUNESWARAN

04/06/2026 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Rukun Negara merupakan asas penting perpaduan yang perlu difahami dan dihayati oleh semua rakyat Malaysia, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran. 

Beliau berkata selain diterapkan di sekolah, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mengingatkan serta mendidik anak-anak mengenai prinsip Rukun Negara bagi memperkukuh semangat perpaduan dan jati diri kebangsaan.

“Rukun negara ini memang dididik, diajar dan kita juga menghafalnya sejak dari bangku sekolah. Jika mana-mana pihak masih tak faham itu, saya rasa mereka tidak menghayati semangat Malaysia.

“Lima prinsip Rukun Negara ini adalah asas untuk kita menyatukan masyarakat. Saya rasa semua ahli politik juga kena belajar, memahami dan menghayati apa sebenarnya dan apa tujuan kita mewujudkan Rukun Negara,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai di Wisma Bernama, hari ini. 

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Isnin lepas yang mengingatkan rakyat supaya menghayati semangat Rukun Negara dan menegaskan mana-mana individu yang tidak mahu berpegang kepada prinsip itu tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.

Sultan Ibrahim turut bertitah ahli politik tidak seharusnya mencetuskan sebarang provokasi terhadap isu sensitif berkaitan raja, agama dan kaum (3R) menjelang musim pilihan raya.

Dalam pada itu, Yuneswaran berkata pemimpin politik perlu menjadi contoh kepada masyarakat dengan mengelakkan isu 3R untuk kepentingan politik. 

“Isu perkauman ini akan sentiasa dimainkan oleh pihak tertentu apabila mereka tiada fakta untuk lawan dengan fakta. Kalau kerajaan salah, boleh tegur, ada caranya seperti membuat kenyataan media, bukan menyebarkan fitnah.

“Kalau kerajaan salah, beri pandangan konstruktif, saya rasa mana-mana kerajaan akan terima. Tapi kalau kita menggunakan 3R untuk mencetuskan keadaan dan menggunakan situasi ini untuk kepentingan politik, kita memang menolak sekeras-kerasnya,” katanya. 

Beliau berkata rakyat kini lebih matang dan menilai ahli politik berdasarkan perkhidmatan serta kemampuan menyatukan masyarakat, bukannya retorik perkauman atau keagamaan.

Sementara itu, Yuneswaran berkata lawatan ke Bernama hari ini bertujuan mengeratkan hubungan dengan pengurusan tertinggi agensi itu serta memperkukuh kerjasama dalam menyampaikan maklumat berkaitan perpaduan kepada rakyat.

 Beliau turut menghargai liputan Bernama yang boleh dipercayai dalam pelbagai bahasa yang membantu kementerian itu menangani cabaran penyebaran berita palsu dan ketegangan yang berpunca daripada individu tidak bertanggungjawab di media sosial. 

 Hadir sama pada perjumpaan itu Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang (TKP) Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Pemangku TKP Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan