AM

LEBIH 6,000 ANGGOTA, VETERAN ATM DAPAT MANFAAT PROGRAM VETERAN MYWIRA

14/06/2026 07:27 PM

ALOR GAJAH, 14 Jun (Bernama) -- Lebih 6,000 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat manfaat di bawah Program 'Veteran MyWira' bagi memperkukuh kebolehpasaran kerjaya dalam pelbagai industri termasuk teknologi tinggi sejak 2024.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata daripada jumlah itu, lebih 140 veteran ATM ditempatkan dalam pelbagai sektor termasuk semikonduktor, pembuatan maju, keselamatan, pendidikan dan penerbangan.

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) di bawah Kementerian Sumber Manusia itu membantu anggota dan veteran mempersiapkan diri mereka dengan bakat baharu dalam bidang teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) selaras dengan permintaan pasaran industri semasa sekali gus mendapat gaji yang tinggi.

"Kita lihat banyak aspek lain dalam penggunaan AI supaya kita boleh mengupayakan veteran bukan sahaja dari sudut kesihatan atau kebajikan mereka tetapi yang paling penting adalah peningkatan sosioekonomi.

"Kalau dulu apabila veteran tamat perkhidmatan baharu kita nilai keupayaan mereka tetapi sekarang ini, dua tahun sebelum mereka tamat berkhidmat, kita sudah menilai keupayaan mereka, latihan yang perlu mereka lalui dan industri apa yang boleh diceburi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah AI MyMahir (JAM) peringkat Parlimen Alor Gajah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Strategi Kumpulan TalentCorp Nazrul Aziz.

Adly berkata menerusi inisiatif itu, setiap tahun Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) mengenal pasti sebanyak 500 orang veteran untuk melaksanakan kajian prospek pekerjaan bagi memperkukuh peralihan kerjaya kedua anggota dan veteran ATM secara lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi.

Terdahulu, TalentCorp dalam kenyataan memaklumkan JAM peringkat Parlimen Alor Gajah merupakan edisi ke-10 pelaksanaan program itu dengan penyertaan hampir 300 orang terdiri dalam kalangan usahawan, pelajar dan veteran ATM.

Agensi itu memaklumkan jelajah itu akan dilaksanakan di 60 kawasan parlimen seluruh negara dengan sasaran keseluruhan peserta sebanyak 12,000 orang.

"JAM dilaksana untuk memperkenalkan asas AI, penggunaan “prompt”, etika AI dan aplikasi AI dalam kerja, pembelajaran, kerjaya dan perniagaan.

"Ia juga memberi fokus kepada AI untuk produktiviti, kerjaya, perusahaan kecil dan sederhana, pekerja bebas dan pembangunan diri," menurut agensi itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan