KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) menerbitkan Standard Pelesenan dan Pendaftaran (AS) serta Standard Pelakuan (CS), yang akan mengawal selia skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) dan lima lagi aktiviti perniagaan lain yang sebelum ini tidak dikawal selia di bawah Fasa 1 Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP).
Kedua-dua standard ini bertujuan menetapkan keperluan pelesenan, pendaftaran serta tanggungjawab pelakuan dalam pelaksanaan AKP.
“AS dan CS terpakai kepada enam aktiviti perniagaan utama di bawah Fasa 1 pelaksanaan AKP, menetapkan keperluan yang jelas dan tersusun bagi memperkukuh amalan beretika dalam kalangan penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit,” menurut SKP dalam kenyataan hari ini.
Di bawah Fasa 1 pelaksanaan akta ini, enam aktiviti perniagaan akan berada di bawah kawal selia SKP yang sebelum ini tidak dikawal selia iaitu BNPL, pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas serta kaunseling dan pengurusan hutang.
Pengerusi Eksekutif SKP Abu Hassan Alshari Yahaya berkata penerbitan AS dan CS merupakan asas penting dalam pelaksanaan AKP, dengan menetapkan keperluan yang jelas dari segi kelayakan untuk beroperasi serta amalan pelakuan.
“Sebagai pihak berkuasa berwibawa, SKP komited memastikan amalan industri selaras dengan mandat untuk melindungi kepentingan pengguna di samping menyokong pembangunan industri yang mampan,” katanya.
Standard Pelesenan dan Pendaftaran memperincikan keperluan serta proses pelesenan dan pendaftaran entiti yang dikawal selia manakala Standard Pelakuan menetapkan set peraturan bagi memastikan amalan yang adil, bertanggungjawab dan profesional dalam industri kredit pengguna.
Penerbitan kedua-dua standard ini merupakan susulan kepada sesi taklimat industri SKP pada 18 dan 19 Mei 2026, yang dihadiri lebih 400 penggiat industri.
Sesi itu mendapat maklum balas yang menggalakkan dengan peserta turut menghargai sokongan SKP dalam membantu persediaan ke arah pematuhan serta pembangunan industri kredit pengguna yang lebih bertanggungjawab.
Bagi memastikan kesiapsiagaan industri, SKP akan meneruskan usaha libat urus melalui penganjuran sesi taklimat industri di peringkat wilayah atau negeri sebagai usaha memantau tahap persediaan menjelang pelaksanaan keperluan pelesenan dan pendaftaran yang akan berakhir pada hujung tahun ini.
-- BERNAMA
