AM

HARI TVET NEGARA 2026 CATAT KEJAYAAN MEMBANGGAKAN, PERKUKUH TVET SEBAGAI PILIHAN UTAMA KERJAYA

08/06/2026 06:37 PM

PUTRAJAYA, 8 Jun (Bernama) -- Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya melakar satu lagi sejarah penting dalam perjalanan transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara apabila mencatat kehadiran sebanyak 510,151 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sambutan yang bermula pada Jumaat lepas itu membuktikan bahawa TVET kini semakin diyakini sebagai laluan utama pembinaan bakat dan kerjaya masa hadapan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata pelancaran TVET 2.0 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan itu menandakan satu anjakan besar dalam pembangunan bakat negara melalui sistem latihan yang lebih responsif, fleksibel dan berpaksikan keperluan industri. 

“TVET 2.0 bukan sekadar penambahbaikan dasar, tetapi komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia memiliki tenaga kerja yang mampu menguasai teknologi baharu, memenuhi keperluan industri masa hadapan dan bersaing pada peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid berkata beliau turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai kesediaan kerajaan menyediakan hingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyokong pelaksanaan awal TVET 2.0. 

“Langkah ini akan mempercepat usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata satu lagi pencapaian yang amat membanggakan adalah penganjuran The 3rd Malaysia-China International Industry-Education Cooperation Forum dan Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia-China kali kelima

Melalui kerjasama strategik Malaysia-China, sebanyak 1,000 tempat biasiswa bernilai hampir RM18 juta, 2,000 peluang latihan antarabangsa bernilai lebih RM10 juta serta sumbangan peralatan latihan TVET bernilai hampir RM2 juta telah diumumkan untuk manfaat pelajar, graduan dan tenaga pengajar TVET negara.

“Prestasi TVET negara turut menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan apabila kadar kebolehpasaran graduan TVET meningkat kepada 95.9 peratus pada 2025 berbanding 92.5 peratus pada 2022. 

“Lebih membanggakan, terdapat institusi TVET mencatatkan kadar kebolehpasaran yang lebih tinggi, termasuk 98.9 peratus bagi institusi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan 100 peratus bagi institusi TVET di bawah CIDB,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata pencapaian ini membuktikan bahawa TVET bukan lagi alternatif tetapi telah berkembang menjadi antara agenda nasional yang paling penting dalam membangunkan modal insan Malaysia. 

“Kejayaan ini juga memperlihatkan keyakinan industri, sokongan masyarakat serta pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha negara memperkukuh ekosistem TVET,” katanya.

Beliau percaya kejayaan Hari TVET Negara 2026 akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan TVET 2.0 yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi. 

“Masa depan ekonomi negara akan banyak dipacu oleh tenaga kerja berkemahiran tinggi, teknologi baharu dan budaya inovasi. Justeru, TVET mesti terus diperkasakan sebagai wahana utama untuk melahirkan bakat masa hadapan yang kompeten, berdaya saing dan mampu membawa Malaysia ke tahap yang lebih gemilang,” katanya.

Bertemakan “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, sambutan tahun ini menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu ekosistem yang memperkukuh hubungan antara kerajaan, institusi pendidikan, industri dan masyarakat.

Sebanyak 117 institusi TVET dan industri menyertai Hab Pameran dan Kolaborasi Industri TVET, manakala 30 institusi TVET dari China mengambil bahagian dalam Pameran Institusi TVET China. 

Selain itu, 28 majikan menyertai Karnival Kerjaya TVET dan 39 usahawan TVET mempamerkan potensi serta kejayaan mereka melalui Hab Usahawan TVET.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan