Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Langkah mewajibkan penyediaan Fasiliti Pengitaran Semula (FPS) di pusat beli-belah disifatkan sebagai transformasi dasar yang mampu memperkasakan ekosistem pengurusan sisa negara menerusi peralihan daripada pendekatan sukarela kepada penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Muhammad Heikal Ismail berkata usaha proaktif kerajaan itu amat bertepatan bagi melonjakkan kadar kitar semula kebangsaan yang kini berada pada tahap 35 peratus.
Beliau berkata kadar itu amat rendah memandangkan negara menghasilkan kira-kira 39,000 tan sisa pepejal setiap hari dengan lebih 80 peratus daripadanya masih berakhir di tapak pelupusan.
“Jurang ini menunjukkan masalah utama bukan sekadar kesedaran masyarakat, tetapi juga kelemahan sistem pengurusan dan reka bentuk dasar pengurusan sisa. Sebenarnya, ramai pengguna mahu mengitar semula tetapi tidak tahu lokasi yang sesuai atau jauh.
“Kekurangan akses kepada kemudahan kitar semula adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada kadar kitar semula Malaysia yang masih rendah,” katanya kepada Bernama.
Bermula pada bulan ini, kerajaan mewajibkan penyediaan FPS di pusat beli-belah sebagai antara syarat permohonan dan pembaharuan lesen premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
Pewujudan FPS bukan sahaja menyokong sasaran Kadar Kitar Semula Kebangsaan serta memperkukuh pengurusan sisa pepejal bandar, malah turut memberikan peluang kepada orang ramai menjana nilai ekonomi menerusi program trash to cash, sekali gus meningkatkan skor kemampanan bandar di bawah sistem MURNInets.
Mengulas lanjut, Muhammad Heikal berkata berdasarkan pengalaman negara yang berjaya meningkatkan kadar kitar semula, faktor paling kritikal bukan sekadar kempen kesedaran, sebaliknya penyediaan infrastruktur yang mudah dicapai oleh orang ramai.
Mengambil contoh di Singapura, beliau berkata kadar kitar semula di negara itu ialah kira-kira 60 peratus dan banyak disokong oleh penyediaan kemudahan yang mudah diakses di kawasan perumahan, pusat komuniti dan pusat beli-belah.
“Kejayaan di Singapura turut dibantu reka bentuk infrastruktur yang terancang dan berorientasikan akses pengguna dengan kemudahan kitar semula ditempatkan di kawasan strategik seperti perumahan bertingkat, pusat beli-belah bagi memastikan jarak capaian pengguna," katanya.
Beliau turut menyifatkan pusat beli-belah sebagai hab pengumpulan yang ideal kerana mampu menyumbang kepada peningkatan kadar kutipan bahan kitar semula antara 30 hingga 50 peratus lebih efisien berbanding kawasan perumahan.
Katanya, aliran pengunjung yang tinggi dan sistem pengurusan berpusat di pusat beli-belah memudahkan pemantauan serta penyelarasan dilakukan secara sistematik.
“Pusat beli-belah juga berfungsi sebagai persekitaran dorongan tingkah laku, iaitu pengguna secara tidak langsung digalakkan untuk melakukan kitar semula dalam rutin harian mereka semasa membeli-belah,” katanya.
Muhammad Heikal berkata walaupun pengusaha mungkin berdepan dengan cabaran kos dan ruang pada peringkat awal, manfaat jangka panjangnya amat besar, khususnya dalam memperkukuh reputasi kelestarian premis serta pematuhan terhadap amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Beliau berkata pelaksanaan FPS itu bukan sahaja mampu meningkatkan reputasi kelestarian pusat beli-belah bagi menarik pengguna dan penyewa komersial, tetapi juga disifatkan penting dalam ekosistem Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) yang sedang dirangka kerajaan.
“EPR menyediakan infrastruktur asas pengumpulan semula bahan pascapenggunaan dalam sistem ekonomi kitaran selain mengurangkan sisa ke tapak pelupusan. Jangka hayat beberapa tapak sisa pepejal ketika ini kritikal dan dibimbangi tidak mampu lagi menampung keperluan masa depan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir berpendapat keberkesanan FPS boleh dipertingkatkan lagi menerusi penyediaan sistem ganjaran atau insentif kepada pengguna.
Beliau berkata pendekatan itu terbukti berjaya di negara maju seperti Jerman yang menggunakan mesin khas pemulangan botol plastik dan tin minuman di pasar raya dengan menawarkan baucar atau pulangan wang.
Katanya, langkah mewajibkan penyediaan FPS semata-mata tidak mencukupi untuk mengubah tingkah laku masyarakat dalam amalan kitar semula dan perkara itu dapat dilihat menerusi penyalahgunaan kemudahan pengumpulan sisa.
“Ada yang tidak bertanggungjawab meletakkan pelbagai jenis barang tidak sepatutnya seperti perabot rosak sehingga kawasan tersebut menjadi tidak terurus dan mencemarkan pemandangan. Jadi, saya berpandangan penyediaan ganjaran atau insentif boleh menggalakkan perubahan tabiat itu,” katanya.
-- BERNAMA
