SHAH ALAM, 9 Jun (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan mengadakan perbincangan bersama pemain-pemain industri bagi meneroka potensi teknologi 5G dalam memperkasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perbincangan berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat supaya agenda pemerkasaan usahawan dapat dibawa ke perhatian Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2027.
“Kita akan adakan sedikit perbincangan supaya kita boleh bawa beberapa perkara ke perhatian MOF bagi dipertimbangkan. Mungkin ada beberapa insentif yang boleh disediakan (kepada usahawan PMKS) tertakluk kepada keputusan yang akan dibuat MOF.
“(Bagi usaha ini) kita nak syarikat-syarikat PMKS lihat sendiri apa yang boleh dimanfaatkan dengan teknologi 5G bagi kegunaan (perniagaan) mereka,” katanya selepas Majlis Pelancaran Gudang Pintar Termaju CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) di sini hari ini.
Selain itu, Fahmi berkata beliau turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan bagi mengenal pasti aplikasi yang dapat memanfaatkan penggunaan teknologi 5G dalam negara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata liputan rangkaian 5G di Malaysia setakat ini mencapai 84 peratus dan disasarkan meningkat kepada 98 peratus menjelang 2030.
Terdahulu, Fahmi melancarkan Gudang Pintar Termaju CelcomDigi yang mampu mengoptimumkan penggunaan ruang sebanyak 30 peratus, iaitu penambahan kecekapan operasi lebih 50 peratus serta mencapai ketepatan inventori sehingga 100 menerusi penyepaduan rangkaian 5G-SA CelcomDigi, kecerdasan buatan (AI) dan sistem berautonomi.
Ekosistem bersepadu itu turut mewujudkan persekitaran tempat kerja lebih selamat dengan mengurangkan gangguan manual berulang dan mengelak tugasan cenderung bahaya menerusi penggunaan sistem berautonomi, pantauan kuasa AI dan pemakluman masa sebenar.
-- BERNAMA
