KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) dinobatkan sebagai juara Cabaran Laurie Dake EAGE 2026 selepas meraih tempat pertama pada pusingan akhir pertandingan yang berlangsung di Aberdeen, Scotland.
UTP dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan itu muncul juara selepas mengatasi Universiti Manchester, United Kingdom dan Institut Teknologi India Bombay, India dalam pertandingan pelajar antarabangsa yang memfokuskan geosains bersepadu dan kejuruteraan petroleum.
Dianjurkan oleh Persatuan Geosaintis dan Jurutera Eropah (EAGE), pertandingan itu menarik penyertaan daripada lebih 40 universiti di seluruh dunia setiap tahun.
UTP memaklumkan pasukan yang menjuarai pertandingan itu terdiri daripada Fong Yuen Sie, Winnie Lo Lin Lin dan Noor Amirah Syahirah Noor Aizam daripada program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Geosains serta Ng Zi Jin daripada program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum dengan Kepujian.
Sebelum ini dikenali sebagai Cabaran FIELD (Cabaran Penilaian dan Pembangunan Bersepadu Sepenuhnya), Cabaran Laurie Dake EAGE menggalakkan kerjasama multidisiplin antara geosains dan kejuruteraan, di samping menekankan kecemerlangan teknikal serta pembuatan keputusan komersial dalam pembangunan lapangan bawah permukaan.
Menurut UTP, para peserta dikehendaki mentafsir set data bawah permukaan yang kompleks, membangunkan strategi pembangunan lapangan bersepadu serta membentangkan cadangan mereka di hadapan panel pakar industri sebelum pasukan itu muncul juara selepas melalui beberapa pusingan penilaian dan penyingkiran.
Pengerusi Geosains UTP Dr Abdul Halim Abdul Latiff ketika mengulas pencapaian itu berkata kejayaan merangkul gelaran juara dengan menewaskan beberapa universiti terkemuka dunia mencerminkan kecemerlangan teknikal, semangat kerja berpasukan dan keazaman tinggi pasukan berkenaan.
“Pencapaian ini menjadi bukti kualiti bakat yang kami bangunkan di UTP serta komitmen kami dalam melahirkan profesional tenaga masa depan yang berupaya menangani cabaran global yang semakin kompleks,” katanya.
Bercakap bagi pihak pasukan itu, Fong berkata peluang membentangkan idea mereka di hadapan pakar industri dan bersaing di pentas antarabangsa antara pengalaman yang amat berharga.
“Lebih penting lagi, cabaran ini menunjukkan kepada kami bahawa masalah dunia sebenar jarang dapat diselesaikan dengan hanya satu disiplin. Kami mempelajari kepentingan kerjasama, kebolehsuaian dan membuat keputusan dalam situasi yang tidak mempunyai satu jawapan yang sempurna.
“Ini adalah pengajaran yang akan kami bawa bersama apabila melangkah ke peringkat seterusnya dalam perjalanan akademik dan profesional kami,” katanya.
UTP memaklumkan pencapaian itu mencerminkan kekuatan pendekatan pendidikan yang berasaskan pengalaman serta berfokuskan industri, di samping menonjolkan kepentingan pembelajaran multidisiplin dan kerjasama antarabangsa dalam mempersiapkan profesional masa depan untuk menghadapi cabaran berkaitan kemampanan, peralihan tenaga dan kemajuan teknologi.
-- BERNAMA
