AM

PAAB PERUNTUK RM50,000 NAIK TARAF KEMUDAHAN AIR DI MRSM KUALA KRAI

10/06/2026 07:09 PM

KUALA KRAI, 10 Jun (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi menaik taraf kemudahan berkaitan penggunaan air termasuk pemasangan peranti cekap air serta pembinaan Taman Kelestarian PAAB di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Krai.

Pengerusinya Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Santuni MADANI itu merupakan komitmen berterusan syarikat tersebut dalam menyokong usaha melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap kepentingan pengurusan sumber air serta penggunaan air bersih secara berhemat dan mampan.

"Air merupakan sumber asas yang sangat bernilai dalam kehidupan seharian. Namun, ramai yang tidak sedar proses kompleks yang diperlukan untuk menukar air mentah daripada empangan, sungai atau tasik kepada air bersih yang selamat digunakan mengikut piawaian Kementerian Kesihatan.

"Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 590 pelajar dan 86 warga MRSM Kuala Krai, yang menggunakan bekalan air 24 jam setiap hari," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Santuni MADANI PAAB di MRSM Kuala Krai, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Zulkiflee Omar, Pengarah MARA Kelantan Zahrail Affenday Mohamed dan Pengetua MRSM Kuala Krai Ismail Deraman.

Jaseni berkata melalui program ini, PAAB bukan sahaja menambah baik kemudahan fizikal berkaitan air di sekolah, malah turut berusaha mendidik dan memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar supaya lebih menghargai setiap titis air yang digunakan.

Katanya, amalan jimat air perlu dipupuk sejak usia muda dan di bangku sekolah lagi supaya generasi muda dapat menjadi agen perubahan dalam komuniti masing-masing.

"Sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan tersebut, PAAB turut membangunkan Taman Kelestarian PAAB yang dilengkapi dengan elemen informasi berkaitan sumber air, proses rawatan air dan kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

"Kemudahan ini diwujudkan sebagai platform pembelajaran interaktif bagi membantu pelajar memahami proses bekalan air daripada sumber semula jadi sehingga menjadi air bersih yang disalurkan ke rumah dan premis pengguna," katanya.

Pada majlis tersebut, Jaseni turut merasmikan taman tersebut yang akan menjadi platform pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada warga sekolah khususnya para pelajar yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai proses rawatan air.

PAAB merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada 2006 melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi membantu Kerajaan Persekutuan merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara dengan kadar pembiayaan yang kompetitif.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan