JOHOR BAHRU, 11 Jun (Bernama) -- Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor akan terus beroperasi pada tahap minimum sebagai kerajaan sementara bagi memastikan pengurusan harian negeri berjalan lancar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan 1 Jun lepas, segala urusan harian pentadbiran tetap berjalan seperti biasa dan memerlukan perhatian yang rapi.
Sehubungan itu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam.
Sesi menghadap yang berlangsung di Istana Pasir Pelangi itu bertujuan untuk mempersembahkan makluman terkini mengenai urusan kerajaan negeri.
Menurut hantaran itu, pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada rutin berkala antara Seri Paduka Baginda dan Menteri Besar, yang tetap diteruskan dalam pengurusan kerajaan sementara selepas pembubaran DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan Mesyuarat Khas esok bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRN Johor dan Negeri Sembilan.
-- BERNAMA
