EKONOMI

KENAIKAN KOS BAJA MEMAKSA PENANAM DI MALAYSIA BERALIH KEPADA PERTANIAN BERASASKAN KECEKAPAN

11/06/2026 01:35 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kos baja yang semakin meningkat dan ketidaktentuan rantaian bekalan mendorong penanam dan pemilik ladang di Malaysia melaksanakan pendekatan yang lebih berorientasikan kecekapan terhadap pemakanan tanaman, sekali gus mengalihkan tumpuan industri daripada jumlah baja kepada keberkesanan nutrien.

Pengarah Eksekutif Wastech Group Sdn Bhd, Nicholas Hii berkata petani semakin selektif dalam cara mereka membeli dan menggunakan baja ketika harga bahan mentah yang lebih tinggi, gangguan logistik dan cabaran berkaitan buruh.

“KIta sedang menyaksikan perubahan pemikiran yang jelas di seluruh pasaran. Tumpuan utama hari ini bulan lagi sekadar membeli baja pada kos paling rendah, tetapi memastikan setiap penggunaannya memberikan kecekapan nutrien yang lebih tinggi, tindak balas tanaman yang lebih baik dan pulangan pelaburan yang lebih baik,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini. 

Beliau berkata penanam sedang mencari jalan penyelesaian yang mampu memaksimumkan pengambilan nutrien sambil mengurangkan kerugian daripada larut lesap, aliran air dan penggunaan berlebihan. 

“Ini amat penting dalam persekitaran semasa, apabila penanam dan ladang berhadapan dengan harga bahan mentah yang lebih tinggi, gangguan logistik, ketidaktentuan rantaian bekalan dan cabaran tenaga buruh,” katanya. 

Selain itu, kesan daripada kenaikan harga baja adalah berbeza mengikut segmen pertanian, dan bagi pekebun kecil dan tanaman kitaran pendek, kenaikan kos berpanjangan boleh menyebabkan sesetengah penanam terpaksa menangguhkan pembelian, mengurangkan kadar penggunaan dan beralih kepada alternatif yang menawarkan kos lebih rendah. 

Bagaimanapun, Hii berkata pendekatan itu boleh menjejaskan pemakanan tanaman dan produktiviti jangka panjang jika tidak diuruskan dengan berhati-hati.

Katanya, bagi tanaman perladangan seperti kelapa sawit, baja memainkan peranan kritikal dalam pengeluaran produktiviti dan tidak boleh dikurangkan dengan sewenang-wenangnya tanpa menjejaskan hasil. 

“Sebaliknya, banyak pengusaha ladang sedang memberi tumpuan kepada pengoptimuman penggunaan, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan pengambilan nutrien. 

“Harga baja yang lebih tinggi bukan sahaja harus dilihat sebagai cabaran kos, tetapi juga sebagai pemangkin kepada industri untuk menerima pakai amalan pengurusan nutrien yang lebih baik,” katanya. 

Hii berkata teknologi seperti baja pelepasan terkawal, sistem pengairan yang tepat, program nutrien berasaskan agronomi dan formulasi baja tersuai dijangka memainkan peranan lebih besar apabila penanam berusaha untuk meningkatkan pulangan sambil menguruskan kos yang semakin meningkat.  

Beliau juga percaya bahawa transformasi pertanian yang lebih meluas boleh dipertingkatkan oleh teknologi, data dan peralatan pertanian yang tepat dapat membantu penanam membuat keputusan yang lebih baik mengenai pemakanan tanaman, pengairan dan pengurusan sumber. 

“Industri sedang beralih daripada pendekatan baja berasaskan isipadu kepada pendekatan berasaskan kecekapan yang lebih tinggi, apabila persoalan utama bukan sahaja mengenai berapa banyak baja yang digunakan, tetapi berapa banyak baja tersebut sebenarnya digunakan secara berkesan oleh tanaman,” tambahnya. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan