EKONOMI

DHL RANCANG KEMBANG KEUPAYAAN LOGISTIK PUSAT DATA MERENTASI ASIA PASIFIK

09/06/2026 09:59 PM

SINGAPURA, 9 Jun (Bernama) -- DHL Supply Chain telah mengumumkan pengembangan keupayaan logistik pusat datanya merentasi rantau Asia Pasifik untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi strategik bagi penskala hiper dan pengendali pusat data.

DHL melalui satu kenyataan berkata pembesaran itu meliputi lebih 30,000 meter persegi kapasiti gudang khusus yang kini beroperasi di seluruh Asia Pasifik, dengan pengembangan 130,000 meter persegi lagi termasuk pembangunan terbina mengikut kesesuaian di Malaysia serta Thailand yang dijadualkan akan berjalan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Secara keseluruhan, DHL akan menyokong lebih daripada 160,000 meter persegi infrastruktur logistik pusat data merentas pasaran utama di rantau ini.

“Peluasan ini secara langsung merupakan respons kepada pertumbuhan pesat pusat data di Asia Pasifik, dengan rantau ini diunjurkan untuk mengatasi Amerika Syarikat sebagai pasaran pusat data terbesar di dunia menjelang 2030.

“Dengan pasaran logistik pusat data meningkat daripada US$23 bilion (US$1=RM4.05) pada 2025 kepada kira-kira US$35 bilion menjelang 2030, persekitaran yang kompleks ini memerlukan kepantasan, keselamatan dan pengendalian khusus, yang mana DHL berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong keseluruhan kitaran hayat pusat data,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif DHL Supply Chain Asia Pasifik, Javier Bilbao berkata apabila rantau ini memasuki fasa berterusan pelaksanaan pusat data berskala besar, pelanggan akan memerlukan lebih daripada kapasiti.

“Pelaburan kami dalam infrastruktur khusus dan keupayaan premium termaju yang direka untuk memberikan kepastian dengan menggabungkan ketepatan, konsistensi serta kelajuan dalam beberapa persekitaran penggunaan yang paling mencabar di rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan