KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kewibawaan dan kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi faktor penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur asing, khususnya dari Jepun terhadap prospek ekonomi negara semasa lawatan rasmi beliau ke negara itu, kata Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.
Beliau berkata hubungan erat yang berjaya dibina oleh Anwar dengan komuniti perniagaan antarabangsa telah meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang diyakini dan berdaya saing di rantau Asia mahupun dunia.
Menurut Irwan, ramai pelabur dan tokoh perniagaan dari Jepun yang ditemuinya tertarik dengan kewibawaan Perdana Menteri dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan ekonomi negara ketika dunia sedang berdepan dengan Asia Barat.
“Pelabur Jepun bukan sahaja melihat kepada kekuatan asas ekonomi negara, malah turut mengambil kira faktor kestabilan politik, kejelasan dasar serta kredibiliti kepimpinan negara dalam membuat keputusan pelaburan.
“Pelabur Jepun juga terkenal dengan pendekatan pelaburan jangka panjang. Mereka amat menitikberatkan kestabilan, integriti, disiplin dan kesinambungan dasar kerajaan,” katanya kepada Bernama ketika mengulas mengenai manfaat lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jepun baru-baru ini.
Semasa lawatan tiga hari itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengadakan sesi meja bulat bersama 29 tokoh perniagaan terpilih dari Jepun.
Irwan yang juga seorang peguam menjelaskan bahawa dasar Ekonomi MADANI yang diperkenalkan kerajaan berjaya mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih kondusif, sekali gus menarik minat pelabur untuk meneroka peluang dalam sektor strategik seperti teknologi tinggi, tenaga boleh baharu, semikonduktor, ekonomi digital dan pembuatan berteknologi tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan diplomatik dan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan Jepun akan terus membuka ruang kerjasama baharu yang mampu memberikan limpahan manfaat kepada rakyat melalui peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan.
“Keyakinan yang ditunjukkan pelabur Jepun hari ini adalah cerminan kepada kepercayaan mereka terhadap hala tuju ekonomi negara yang diterajui oleh Perdana Menteri. Ini merupakan petanda positif bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat untuk muncul sebagai hab pelaburan utama di rantau ini,” katanya.
Peningkatan minat pelabur Jepun dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh daya saing negara, mempercepat reformasi ekonomi serta memastikan pertumbuhan yang lebih mampan dan inklusif demi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
