KOTA KINABALU, 11 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah memberikan penumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pertanian, digital serta kecerdasan buatan (AI) dalam pemerkasaan pendidikan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah proaktif itu amat penting bagi memastikan setiap anak Sabah memperoleh peluang pendidikan terbaik tanpa mengira kaum dan latar belakang, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia serta berdaya saing.
Beliau berkata pembangunan modal insan di negeri ini akan terus diperkasakan secara berterusan sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan memperkukuh masa depan Sabah.
"Bidang kemahiran dan pembangunan belia akan terus diperkasakan melalui peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan," katanya berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Kali Keempat Tahun 2026, di sini hari ini.
Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha memperkasakan sektor berkenaan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik bersama JPNS serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau berkata antara langkah yang dilaksanakan, termasuk pembinaan dan naik taraf sekolah, penyediaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), program motivasi murid luar bandar, serta peluasan 14 inisiatif bantuan pendidikan sedia ada termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI) dan Bantuan Ihsan Komputer.
Sementara itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, yang menyaksikan Gred Purata Negeri (GPN) Sabah meningkat daripada 5.00 pada 2024 kepada 4.85 pada 2025.
"Pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan seluruh pihak yang terlibat dalam sistem pendidikan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melonjakkan kecemerlangan pendidikan negeri Sabah pada masa hadapan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa guru adalah tonggak utama pembangunan negara kerana memikul tanggungjawab besar yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk akhlak dan nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Sehubungan dengan itu, Hajiji menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas komitmen, keikhlasan dan dedikasi tinggi yang dicurahkan dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa di negeri ini.
-- BERNAMA
