AM

MADA NASIHAT PELADANG PERCEPAT TANAM PADI

11/06/2026 06:05 PM

ALOR SETAR, 11 Jun (Bernama) -- Taburan hujan yang baik dan mencukupi ketika ini memberi peluang kepada peladang untuk mempercepatkan aktiviti penanaman padi bagi musim 1/2026, khususnya melalui kaedah tabur terus basah.

Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memaklumkan agensi itu komited memastikan kelangsungan pengeluaran padi negara menerusi pemantauan berterusan terhadap status bekalan air dan kemajuan aktiviti penanaman di kawasan jelapang MADA, agar ia dapat dilaksanakan mengikut jadual.

"Sehingga 10 Jun lepas, aktiviti pratepuan hampir selesai sepenuhnya dengan pencapaian sebanyak 99.5 peratus, manakala kerja penyediaan tanah mencapai 91.4 peratus. 

“Namun, aktiviti penanaman masih berada pada tahap 28.8 peratus dan MADA berharap baki kawasan yang masih belum ditanam dapat disegerakan oleh ," menurut kenyataan itu. 

Menurut MADA, laporan hidrologi terkini menunjukkan petak sawah di seluruh Kawasan Muda menerima taburan hujan yang baik dan mencukupi untuk memulakan kerja penanaman.

MADA memaklumkan data terkini merekodkan purata hujan harian bagi seluruh Kawasan Muda adalah sebanyak 8.8 milimeter (mm), dengan Wilayah II, Jitra mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 12.2 mm, diikuti Wilayah III, Pendang sebanyak 9.8 mm, Wilayah IV, Kota Sarang Semut (6.9 mm) dan Wilayah I, Perlis (4.7 mm).

Dalam pada itu, MADA turut melepaskan air dari empangan secara terkawal pada kadar 800 kaki padu sesaat (cusec/Q) bagi memenuhi keperluan domestik dan industri.

Kenyataan itu memaklumkan, status takungan air di tiga empangan utama MADA juga masih berada pada tahap stabil dengan jumlah keseluruhan sebanyak 506,168 ekar kaki atau 41.39 peratus. 

Empangan Pedu merekodkan takungan sebanyak 378,470 ekar kaki bersamaan 43.25 peratus, diikuti Empangan Ahning (112,948 ekar kaki atau 50.65 peratus), manakala Empangan Muda (14,750 ekar kaki atau 11.80 peratus).

MADA justeru menyeru agar semua peladang memanfaatkan keadaan cuaca semasa bagi mempercepatkan aktiviti penanaman padi menggunakan kaedah bersesuaian serta menguruskan penggunaan sumber air secara berhemah dan optimum bagi mengelakkan pembaziran.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan