AM

JENAZAH 27 ETNIK ROHINGYA TRAGEDI BOT KARAM SELAMAT DIKEBUMI

11/06/2026 06:48 PM

ALOR SETAR, 11 Jun (Bernama) -- Jenazah 27 warga Myanmar etnik Rohingya yang merupakan mangsa insiden bot karam di perairan Langkawi tahun lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Pokok Sena, hari ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata pengurusan kesemua jenazah melibatkan 13 lelaki dan 14 wanita itu bermula 10 malam semalam dan selesai pada 7 pagi tadi.

“Semua jenazah selamat dikebumikan bermula 7.30 pagi dengan penuh tertib serta penghormatan mengikut hukum syarak di bawah pemantauan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengurusan jenazah dilaksanakan secara bersepadu bersama beberapa agensi termasuk polis, hospital, MAIK, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Adzli berkata polis Kedah merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan serta pihak terlibat yang memberikan kerjasama dan komitmen tinggi dalam memastikan segala urusan dapat disempurnakan dengan baik.

Beliau berkata insiden malang pada tahun lepas itu melibatkan sekumpulan migran yang cuba memasuki perairan negara secara tidak sah dan kesemua mayat yang ditemukan telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah bagi tujuan pengecaman identiti, bedah siasat serta dokumentasi forensik.

“Siasatan berhubung punca kejadian, laluan kemasukan serta dalang di sebalik aktiviti penyeludupan migran itu juga masih diteruskan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

Adzli berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti tersebut diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Beliau berkata polis juga akan terus memperkukuh penguatkuasaan undang-undang dan kawalan keselamatan perairan negara bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Pada tahun lepas, media melaporkan kira-kira 290 ke 300 orang pendatang asing tanpa izin menaiki sebuah kapal dari Myanmar, kemudian dipindahkan ke bot yang lebih kecil ketika tiba di perairan sempadan Malaysia-Thailand, sebelum bot kecil tersebut karam.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan