AM

NAFAS PERKUKUH DAYA TAHAN RANTAIAN BEKALAN BAJA, SOKONG KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

11/06/2026 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) terus memperkukuh daya tahan rantaian bekalan baja negara melalui pelbagai langkah strategik bagi memastikan kelangsungan bekalan input pertanian dalam menghadapi cabaran pasaran global yang semakin dinamik. 

Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin berkata walaupun industri baja global masih berdepan ketidaktentuan harga bahan mentah, kos logistik dan faktor geopolitik, NAFAS bersama syarikat-syarikat subsidiarinya terus komited memastikan pembekalan baja kepada sektor pertanian negara berjalan lancar demi menjaga kebajikan dan kepentingan para pesawah.

“NAFAS sentiasa memantau perkembangan pasaran baja global dan melaksanakan pelbagai langkah mitigasi secara proaktif bagi memastikan kelangsungan pembekalan baja kepada para peladang. 

“Walaupun kos perolehan bahan mentah masih berada pada paras yang tinggi, kedudukan stok bahan mentah dan ketersediaan produk siap berada pada tahap yang memuaskan bagi menyokong keperluan sektor pertanian negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kedudukan stok bahan mentah serta ketersediaan produk siap ketika ini berada pada tahap yang mencukupi bagi menampung keperluan pembekalan baja negara hingga Ogos 2026. 

Muhammad Faris berkata keupayaan NAFAS mengekalkan kestabilan rantaian bekalan turut diterjemahkan melalui kejayaan memperoleh kepercayaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerusi penganugerahan tender pembekalan baja bagi menyokong keperluan pesawah di kawasan MADA. 

Beliau berkata kejayaan itu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap keupayaan NAFAS dalam memastikan pembekalan baja yang berkualiti, berdaya saing dan memenuhi keperluan sektor pertanian negara. 

Selain memperkukuh perancangan perolehan bahan mentah dan pengurusan rantaian bekalan, NAFAS turut meneruskan kerjasama strategik bersama kerajaan serta pemain industri utama bagi memperluas akses kepada sumber bekalan yang lebih mampan dan kompetitif. 

Menurut NAFAS, kerjasama strategik antara Malaysia dan Australia yang diumumkan sebelum ini dijangka memberikan impak positif terhadap kestabilan bekalan bahan mentah kritikal industri baja, khususnya Christmas Island Rock Phosphate (CIRP) yang digunakan dalam penghasilan baja sebatian bagi sektor padi.

Pada masa yang sama, bekalan urea negara terus disokong melalui kerjasama strategik bersama Petronas yang memainkan peranan penting dalam memastikan ketersediaan bahan mentah utama bagi pengeluaran baja domestik.

“NAFAS akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), rangkaian Pertubuhan Peladang dan semua pihak berkepentingan dalam memperkukuh ekosistem pembekalan baja negara. 

“Komitmen berterusan ini mencerminkan peranan NAFAS sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyokong produktiviti sektor pertanian, memperkukuh keterjaminan makanan negara serta memastikan kebajikan komuniti peladang dan pesawah sentiasa menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan