AM

SEMAKAN KETAT BENTENG MEDIA ARUS PERDANA KEKAL RELEVAN DI ERA DIGITAL

12/06/2026 11:20 AM

Oleh Kuvineshwaren Nedunjelian

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) --  Struktur editorial berasaskan semakan ketat, pengesahan fakta dan pematuhan etika kewartawanan adalah benteng utama membezakan organisasi media profesional dengan kandungan wartawan warga (citizen journalist) yang tidak melalui proses semakan yang setara.

Penerbit Eksekutif Kanan dan Penyampai Berita Media Prima Berhad Mior Abdul Malek Raiyani berkata kepercayaan masyarakat terhadap media arus perdana kekal tinggi kerana peranannya sebagai platform pengesahan maklumat di tengah-tengah lambakan kandungan yang tidak ditapis di media sosial. 

Namun, beliau mengakui media tradisional kini berdepan cabaran besar mengejar kepantasan media sosial, namun aspek ketepatan dan akauntabiliti tidak boleh dikompromi demi mempertahankan integriti sesebuah jenama berita.

"Struktur kepercayaan dalam kalangan khalayak penonton ataupun pengikut kita ialah keyakinan terhadap struktur editorial. Sebab kita melalui lapisan demi lapisan daripada sumber di lapangan, wartawan menulis berita, disemak semula oleh pengarang di pejabat dan ketua pengarang semak balik kalau berita-berita yang penting.

"Ini adalah satu bentuk akauntabiliti jelas untuk membuktikan bahawa berita yang kita tawarkan kepada penonton adalah betul-betul credible. Betul kadang-kadang mereka lebih cepat, tapi cabarannya adakah itu tepat? Kehilangan kepercayaan daripada khalayak adalah bencana paling besar kepada satu-satu agensi media," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara bertajuk Media Berintegriti, Nadi Kepercayaan Rakyat terbitan Bernama TV malam tadi yang turut menampilkan Editor Kanan dan Pengacara Kanan Astro Awani Nazri Kahar selaku panelis jemputan secara dalam talian.

Mengulas lanjut mengenai transformasi bilik berita, Nazri berkata organisasi media arus perdana perlu mengamalkan pendekatan Digital First dan mentakrifkan semula konsep waktu perdana agar kekal kompetitif.

Menurutnya, bilik berita kini tidak lagi terikat kepada ruang fizikal sebaliknya dinamik di lokasi kejadian yang menuntut wartawan di lapangan bertindak tangkas tanpa mengetepikan kod etika kewartawanan serta peraturan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Bilik berita kita adalah di lokasi dan editor kita di mana-mana saja mereka berada untuk menyunting berita dengan pantas. Kita tidak boleh lagi menunggu top of the hour untuk menyiarkan berita. Kita perlu ada breaking news atau alert di semua platform media sosial seperti Instagram, TikTok, Threads dan sebagainya.

"Walaupun kita buat breaking news dan real-time, kita tidak boleh berkompromi dengan melanggar etika-etika kita sebagai pemain media arus perdana. Kita menawarkan berita yang sahih dan ada kredibiliti," katanya.

Mengenai isu kecenderungan media arus perdana memetik kandungan tular dari media sosial, kedua-dua panelis bersetuju bahawa agensi berita wajib lebih selektif dan bertanggungjawab serta mengelakkan sindrom takut ketinggalan (FOMO - Fear of Missing Out).

Mior Abdul Malek berkata media arus perdana perlu memberikan nilai tambah melalui tindakan susulan, pengesahan fakta dan penyelesaian isu terhadap kandungan tular tersebut bagi membantu masyarakat selain sentiasa menjaga sensitiviti emosi keluarga mangsa yang terlibat dalam sesuatu kejadian.

Sementara itu, menjelang musim pilihan raya, Nazri mengingatkan para pengamal media arus perdana supaya sentiasa mempertahankan prinsip berkecuali dan menjaga kredibiliti peribadi, termasuk ketika menggunakan media sosial persendirian.

Beliau berkata peranan utama media arus perdana ialah menyediakan analisis dan laporan yang adil serta berasaskan fakta kukuh bagi membantu rakyat membuat pertimbangan matang, sekali gus membezakan mereka daripada pencipta kandungan atau pempengaruh digital yang tidak mempunyai batas etika.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan