KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Berhad mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) kepada Paragon Union Bhd berikutan penyusutan mendadak harga saham syarikat itu hari ini.
Pada 4.41 petang, harga saham kumpulan itu susut sebanyak RM1.39 atau 29.83 peratus kepada RM3.27 daripada RM4.66 semasa ditutup pada Khamis.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, bursa menasihatkan pelabur untuk mengambil maklum mengenai jawapan syarikat terhadap pertanyaan UMA, yang akan disiarkan di laman web Bursa Malaysia di bawah ruangan pengumuman syarikat.
Bursa Malaysia memaklumkan pihaknya meminta Paragon Union untuk memastikan sama ada terdapat sebarang perkembangan penting yang tidak didedahkan, termasuk perkara yang masih dalam peringkat rundingan atau perbincangan, yang boleh menyumbang kepada pergerakan mendadak harga sahamnya.
Bursa turut meminta penjelasan sama ada terdapat khabar angin atau laporan berkaitan perniagaan dan urusan syarikat yang mungkin mempengaruhi aktiviti dagangannya dan sama ada syarikat mengetahui faktor lain yang boleh menyebabkan pergerakan mendadak harga saham itu.
Selain itu, Bursa Malaysia turut meminta pengesahan bahawa Paragon Union telah mematuhi Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, terutama berkaitan obligasi pendedahan segera.
Bursa Malaysia memaklumkan kandungan respons syarikat itu perlu disahkan oleh lembaga pengarah Paragon Union sebelum dikemukakan melalui sistem Bursa LINK.
-- BERNAMA
