KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Sebanyak 14 harta alih yang telah disita dari kediaman Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos akan dilelong 22 Jun ini selepas beliau gagal menjelaskan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam kes saman fitnah.
Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Kok, berkata Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan tuntutan interplider dikemukakan anak lelaki Jamal, Muhammad Amin Daniel yang mendakwa barangan disita itu adalah miliknya.
“Permohonan Muhammad Amin Daniel ditolak dengan kos RM8,000. Seorang lagi individu bernama Mohd Razali Kamin pula telah memfailkan notis penarikan balik tuntutan interplider dan beliau diperintahkan membayar kos RM2,000.
“Sehubungan itu, tiada lagi halangan terhadap prosiding pelaksanaan penghakiman. Lelongan barang-barang yang telah disita ditetapkan pada 22 Jun 2026, pukul 10 pagi,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Qasiratul Jannah Usmani Othman yang berlangsung secara sidang video hari ini.
Pada 28 Jan lepas, Penolong Kanan Pendaftar bersama bailif, peguam dan pegawai polis telah ke kediaman Jamal di Ampang Jaya, Selangor, untuk melaksanakan writ penyitaan dan penjualan terhadap 14 harta alih berkenaan.
Pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan oleh bailif mahkamah itu bagi mendapatkan semula jumlah penghakiman tertunggak, iaitu kos yang sepatutnya dibayar kepada Kok dalam kes saman itu, namun masih belum dijelaskan.
Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Kok.
Jamal telah menjelaskan bayaran ganti rugi tersebut.
Pada 26 Julai 2022, Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Kok.
Kok memfailkan saman itu pada 6 April 2017 yang mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) semasa sidang media pada 8 Mac tahun yang sama.
Menerusi pernyataan tuntutan, Kok mendakwa kenyataan fitnah itu disebarkan menerusi media cetak dan elektronik, termasuk melalui akaun Facebook Jamal, yang memberi gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi serta merupakan seorang yang tidak beretika.
-- BERNAMA
