Oleh Nursyabiha Sukri
SEREMBAN, 13 Jun (Bernama) -- Di sebalik kemelut pemerintahan Negeri Sembilan yang terus mencetuskan perhatian ramai, pengamal media arus perdana berdepan antara cabaran paling sukar apabila perlu menyalurkan maklumat yang pantas, tepat dan berimbang di tengah-tengah lambakan spekulasi serta maklumat tidak sahih yang beredar menerusi media sosial.
Krisis yang membabitkan institusi Undang dan pentadbiran kerajaan negeri itu bukan sahaja menguji kestabilan politik Negeri Sembilan, malah turut menjadi medan ujian kepada profesionalisme media dalam mengimbangi tuntutan pelaporan segera dengan keperluan mematuhi etika kewartawanan.
Walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada 5 Jun lepas bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, pakar dalam industri media berpandangan kemelut berkenaan masih belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian, sekali gus menuntut kewaspadaan tinggi dalam kalangan pengamal media terutama ketika melaporkan isu sensitif yang menyentuh adat dan institusi negeri.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Ima Liana Esa berkata krisis yang berlarutan hampir dua bulan sejak April lepas itu antara cabaran pelaporan paling kompleks pernah dihadapi media kerana tidak hanya berkisar soal politik, malah melibatkan aspek adat, budaya dan institusi yang menjadi teras identiti Negeri Sembilan.
“Situasi yang berlaku di Negeri Sembilan ketika ini belum pernah berlaku sebelum ini. Pada masa sama, masyarakat mahu mendapatkan maklumat terkini dengan segera, sekali gus mewujudkan tekanan besar kepada media untuk melaporkan perkembangan semasa secara pantas dalam keadaan berdepan lambakan maklumat palsu.
“Jika kita melihat trend pilihan raya sebelum ini sama ada PRN atau PRU (Pilihan Raya Umum), penyebaran berita palsu lazimnya meningkat dan memuncak apabila proses pilihan raya bermula. Keadaan itu sememangnya memberi tekanan yang besar kepada media,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata cabaran pelaporan PRN Negeri Sembilan kali ini juga jauh lebih rumit kerana isu yang timbul tidak lagi tertumpu kepada persaingan politik kepartian semata-mata.
Sebaliknya, perkembangan semasa turut membabitkan institusi adat dan struktur perlembagaan negeri yang memerlukan pengamal media mengimbangi keperluan menyampaikan maklumat dengan segera tanpa mengabaikan sensitiviti masyarakat serta tanggungjawab etika kewartawanan.
Berbekalkan pengalaman 16 tahun dalam media penyiaran arus perdana, Ima Liana berkata media perlu memahami konteks budaya, sejarah dan adat setempat sebelum menerbitkan sesuatu laporan bagi mengelak salah faham yang boleh mencetuskan polemik dalam masyarakat.
“Isu adat bukan sekadar bahan berita. Ia berkait rapat dengan identiti, maruah dan keharmonian sesebuah masyarakat. Sebab itu laporan yang dihasilkan perlu dibuat dengan penuh sensitiviti dan tanggungjawab,” katanya.
Dalam era digital yang menyaksikan kemunculan ramai wartawan warga atau citizen journalist, beliau berkata media arus perdana masih kekal sebagai penyaring fakta yang penting serta menjadi sumber rujukan yang dipercayai masyarakat.
Setiap laporan berkaitan adat dan institusi beraja, katanya perlu melalui proses pengesahan yang ketat dengan mendapatkan maklumat daripada pihak berautoriti seperti institusi adat, pakar budaya serta pihak berkaitan sebelum disiarkan.
“Konsep breaking news sememangnya penting dalam ekosistem media moden namun kepantasan tanpa proses verifikasi yang teliti boleh membawa implikasi besar termasuk penyebaran fitnah, kekeliruan awam dan ketegangan sosial,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM Mujibu Abd Muis berkata cabaran utama media ketika ini adalah mencari keseimbangan antara kelajuan dan ketepatan maklumat dalam landskap komunikasi yang semakin terbuka.
Menurutnya, dalam konteks Negeri Sembilan yang mempunyai keunikan Adat Perpatih dan institusi adat tersendiri, sebarang laporan yang tidak tepat berpotensi menimbulkan salah faham serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Media arus perdana masih terikat dengan proses semakan fakta, garis panduan editorial dan sensitiviti budaya. Pada masa sama, maklumat di media sosial bergerak terlalu pantas tanpa proses pengesahan yang jelas,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan masyarakat mudah terdedah kepada spekulasi apabila penjelasan rasmi mengambil masa untuk disampaikan dan situasi itu akhirnya diisi oleh pelbagai naratif alternatif yang tersebar menerusi platform digital seperti TikTok, Facebook dan WhatsApp.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan media arus perdana perlu beralih daripada model pemberitaan yang terlalu bergantung kepada konsep breaking news semata-mata kepada pendekatan yang lebih responsif menerusi amalan rapid verification journalism atau semakan pantas maklumat.
“Contohnya, media boleh segera memaklumkan bahawa sesuatu maklumat masih dalam semakan atau belum disahkan. Langkah itu penting bagi mengurangkan kekeliruan awam sementara siasatan lanjut dijalankan.
“Kekuatan sebenar media arus perdana bukan hanya pada kelajuan laporan, tetapi pada kredibiliti dan kepercayaan awam yang dibina secara konsisten,” katanya.
Sehubungan dengan itu, kedua-dua pakar berpandangan aspek pelaporan berkaitan adat, budaya dan institusi beraja perlu diberikan penekanan dalam program sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bagi memastikan pengamal media lebih bersedia mengendalikan isu sensitif secara profesional, berhemah dan bertanggungjawab.
Kemuncak HAWANA 2026 yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” akan berlangsung pada 20 Jun di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang dan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
