KOTA BHARU, 14 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Kelantan merangkul lima hadiah pada majlis Anugerah Media Kelantan 2025 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Negeri di sini malam ini.
Jurufoto Bernama Muhammad Mustaqim Khairuddin, yang dinobat juara bagi kategori Gambar Berita Terbaik melalui karya bertajuk Selamatkan Lembu Dalam Banjir, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.
Ketua Biro Kelantan Muhammad Afiq Mohd Asri pula meraih tempat kedua bagi kategori Laporan Khas Akhbar Bahasa Melayu Terbaik bertajuk Sempadan Kelantan-Thailand: Ancaman Dalaman, Cabaran Geografi Dan Tuntutan Kuasa Maritim dan membawa pulang hadiah wang tunai RM700.
Beliau turut memenangi tempat kedua bagi kategori Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik melalui artikel bertajuk Strok Bukan Noktah: Azli Bangkit Kembali Bersama RTW PERKESO, yang turut menawarkan hadiah wang tunai RM700.
Tidak ketinggalan, wartawan Biro Kelantan Habsah Ismail turut membawa pulang RM300 apabila meraih tempat ketiga bagi kategori Berita Terbaik dengan artikel bertajuk Mata Palsu: HPUSM Kembalikan Keyakinan Pesakit Kehilangan Mata.
Jurukamera Bernama TV Ahmad Faris Abdul Halim turut berkongsi kejayaan sama apabila memenangi tempat ketiga bagi kategori Berita TV Terbaik Tempat Ketiga dengan karya bertajuk Pil Kuda Bernilai Jutaan Ringgit Disorok Dalam Najis Lembu, Enam Warga Tempatan Ditahan.
Kesemua anugerah disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada majlis yang dihadiri pengamal media daripada pelbagai organisasi sama ada cetak, elektronik dan digital di negeri itu.
Dalam ucapannya, beliau berkata wartawan bukan sekadar penyampai maklumat tetapi juga rakan strategik kerajaan dan masyarakat dalam membina persefahaman serta kesejahteraan bersama.
Mohd Nassuruddin berkata wartawan juga dianggap sebagai saksi sejarah yang mendokumentasikan peristiwa penting negeri dan negara untuk rujukan generasi akan datang.
-- BERNAMA
