AM

JUMLAH MANGSA BANJIR DI PERAK KEKAL 92 ORANG MALAM INI

15/06/2026 09:30 PM

IPOH, 15 Jun (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak kekal 92 orang daripada 33 keluarga setakat malam ini.

Kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa masih berlindung di dua PPS yang dibuka di daerah terjejas, iaitu Larut Matang dan Selama serta Manjung. 

“PPS Sekolah Kebangsaan Batu Hampar di daerah Larut Matang dan Selama kekal menempatkan 41 mangsa daripada 14 keluarga susulan banjir yang membabitkan Kampung Batu 25, Kampung Berjaya, Kampung Batu 23 dan Sungai Rotan.

“PPS Sekolah Kebangsaan Beruas dalam daerah Manjung juga sama merekodkan 51 mangsa daripada 19 keluarga, membabitkan kawasan banjir di Kampung Kilang, Taman Anggerik Permai dan Kampung Pulau Kabung,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir atau hujan lebat di kawasan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Muallim, Batang Padang dan Hilir Perak pada 6 petang tadi.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan