KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Tetamu yang menghadiri Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun ini berpeluang mendapatkan barangan eksklusif yang dihasilkan khas bersempena dengan sambutan berkenaan.
Koleksi edisi terhad itu terdiri daripada bomber jacket (RM59), kemeja-T berkolar (RM37) dan kemeja-T leher bulat (RM30) yang menampilkan identiti serta logo rasmi HAWANA 2026, sekali gus menjadikannya antara memorabilia istimewa sambutan tahun ini.
Menurut Sekretariat HAWANA 2026, koleksi barangan edisi khas ini boleh didapati di reruai Official Merchandise HAWANA di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, lokasi berlangsungnya majlis kemuncak HAWANA 2026.
“Koleksi eksklusif ini ialah tanda sokongan dan kenangan dan boleh didapati sepanjang majlis berlangsung sementara stok masih ada,” katanya.
Majlis kemuncak sambutan HAWANA 2026 yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambutan HAWANA dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana.
Majlis Kemuncak HAWANA ialah perhimpunan terbesar pengamal media di Malaysia bertujuan mengiktiraf sumbangan serta profesionalisme wartawan dalam pembangunan negara.
Selain majlis kemuncak, sambutan edisi Pulau Pinang juga akan dimeriahkan dengan Karnival RIUH Pi HAWANA yang akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 19 Jun, dengan menggabungkan elemen seni kreatif dengan sesi dialog, serta menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai bagi setiap peringkat umur.
-- BERNAMA
