AM

PENERBANGAN TERUS JAKARTA-KOTA BHARU PACU SEKTOR PELANCONGAN, EKONOMI NEGERI

18/06/2026 02:16 PM

KOTA BHARU, 18 Jun (Bernama) -- Penerbangan terus AirAsia yang menghubungkan Jakarta, Indonesia dengan Kota Bharu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan ekonomi Kelantan sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).  

Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan penerbangan sulung AK2354 menggunakan pesawat Airbus A320 berkapasiti 180 tempat duduk selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada 3.50 petang Selasa lepas.

Penerbangan sulung itu membawa 117 penumpang dengan faktor muatan kira-kira 63 peratus, meliputi pelawat dari Indonesia, Thailand, Filipina dan beberapa negara lain selain rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air.  

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata pelancaran laluan baharu itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh ketersambungan serantau Malaysia di bawah VM2026.  

Beliau berkata Indonesia kekal sebagai antara pasaran sumber utama negara dan laluan terus itu akan memudahkan pelawat menikmati pengalaman budaya, warisan serta ekopelancongan yang ditawarkan di Kelantan.

“Selain percutian, perkhidmatan ini juga dijangka menyokong pertumbuhan sektor pelancongan kesihatan serta memperkukuh hubungan rakyat antara dua negara.

“Kami yakin laluan ini akan menyumbang secara positif kepada peningkatan ketibaan pelawat serta menjana manfaat ekonomi yang lebih meluas kepada komuniti setempat dan penggiat industri pelancongan di Kelantan serta seluruh wilayah Pantai Timur,” katanya.  

Sementara itu, Pengarah Tourism Kelantan Azwan Ab Rahman berkata laluan Jakarta-Kota Bharu berpotensi meningkatkan jumlah pelancong dari Indonesia serta mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan budaya dan warisan utama negara.  

Beliau berkata pelancong dari Jakarta kini mempunyai akses lebih mudah ke tarikan utama negeri itu termasuk Pasar Siti Khadijah, Masjid Kampung Laut, Kampung Kraftangan dan Stong Geopark selain menjadikan Kota Bharu sebagai pintu masuk atau transit ke destinasi lain di selatan Thailand dan pulau peranginan di Pantai Timur.  

Pengurus Besar AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata syarikat penerbangan itu komited menghubungkan destinasi yang kurang mendapat liputan dengan hab utama serantau bagi mewujudkan lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi.  

Tourism Malaysia memaklumkan sehingga April lepas terdapat 634 penerbangan mingguan antara Malaysia dan Indonesia yang menawarkan kapasiti lebih 114,806 tempat duduk seminggu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan