BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Kerja Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 berkampung selama tiga hari di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini bagi membuat persiapan rapi menjelang Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang berlangsung esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata tahap persiapan kini mencapai 80 peratus dengan beberapa sesi raptai telah diadakan untuk memastikan kelancaran majlis.
Beliau berkata pemilihan negeri di utara tanah air itu turut mengambil kira cabaran logistik termasuk aspek penginapan dan pengangkutan.
“(Justeru), kita membuat perancangan yang amat terperinci dan kita mendapat kerjasama daripada beberapa pengusaha penginapan di negeri ini untuk membantu bukan sahaja untuk team kita, juga untuk rakan-rakan media yang akan hadir,” katanya ketika meninjau persiapan majlis, di sini, hari ini.
Beliau berkata perbezaan lokasi penganjuran turut dijangka memberi impak terhadap kehadiran peserta berbanding edisi di Kuala Lumpur.
“Di Kuala Lumpur, ramai boleh turun dan meraikannya. Di Pulau Pinang pula, mungkin atas faktor kerja, kekangan masa dan tugas, tidaklah semuanya dapat hadir,” katanya.
Nur-ul Afida turut memaklumkan beberapa program sampingan anjuran Majlis Media Malaysia, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) juga diadakan sempena HAWANA 2026.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 petang esok.
Acara itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, sekali gus bertindak sebagai platform strategik untuk mencetuskan idea segar serta menentukan hala tuju kewartawanan semasa.
HAWANA yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana adalah platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.
-- BERNAMA
