DUNIA

NIAGA HADAPAN EMAS DITUTUP LEBIH RENDAH

19/06/2026 08:36 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Jumaat di tengah-tengah jangkaan kemungkinan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akhir tahun ini, yang akan menyokong dolar AS dan memberi kesan kepada daya tarikan logam berharga itu. 

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pertemuan terbaharu yang masih belum pasti antara Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FMOC) dengan pelabur emas selepas Fed AS memberi isyarat bahawa kenaikan kadar masih menjadi satu kemungkinan. 

“Dalam pasaran, tempoh 24 hingga 48 jam pertama selepas kejutan oleh bank pusat selalunya merupakan tempoh yang paling berbahaya, dan emas telah terlibat secara langsung dalam penetapan semula harga itu,” katanya kepada Bernama. 

Innes menambah sentimen itu terus terjejas selepas Goldman Sachs menurunkan unjuran emas pada akhir tahunnya kepada US$4,900 daripada US$5,400.

“Walaupun bank kekal konstruktif terhadap emas dalam jangka masa sederhana, semakan semula itu mengukuhkan pandangan bahawa jongkong emas boleh bergerak lebih rendah sebelum menemui laluan pemulihan yang lebih tahan lama,” katanya. 

Pada penutup, kontrak semerta bulan Jun 2026 susut kepada US$4,170.80 setiap auns troy daripada US$4,275.20 ketika ditutup pada Khamis, manakala kontrak Julai 2026 berkurang kepada US$4,184.90 setiap auns troy daripada US$4,287.20. Kontrak Ogos 2026 merosot kepada US$4,205.50 setiap auns troy daripada US$4,307.80.

Kontrak September 2026 berada pada US$4,210.00 setiap auns troy, manakala kontrak Oktober 2026 dan Disember 2026 kedua-duanya ditetapkan pada US$4,229.10 setiap auns troy.

Jumlah dagangan melonjak kepada 21 lot daripada lima pada Khamis, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 87 kontrak daripada 69 sebelumnya. 

Sementara itu, emas fizikal ditetapkan pada US$4,236.15 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 18 Jun 2026. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan