SUKAN

AZEEM, NUR AISHAH ROFINA RAJA DAN RATU PECUT TERBUKA MALAYSIA 2026

19/06/2026 08:49 PM

SERDANG, 19 Jun (Bernama) -- Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menepati ramalan apabila berjaya memenangi emas 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026 di sini hari ini.

Pada perlumbaan akhir yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), pemegang rekod kebangsaan acara itu yang mewakili pasukan Perak menamatkan saingan dengan catatan masa 10.21 saat (s).

Tempat kedua dimenangi atlet Johor Muhammad Airiel Iskandar yang merekodkan 10.34s, manakala gangsa diraih wakil Terengganu Mohammad Armin Zahryl dengan catatan 10.44s.

Muhammad Azeem ketika ditemui media selepas perlumbaan berkata beliau tidak meletakkan sebarang sasaran catatan masa untuk kejohanan ini memandangkan masih belum berada pada tahap yang terbaik.

 “Saya baru sahaja habis Kejohanan Olahraga NCAA Amerika Syarikat lima hari lepas dan hanya tiba di Malaysia pada Selasa.

“Walaupun masih keletihan akibat perjalanan, namun saya gembira kerana dapat beraksi di hadapan penonton sendiri,” katanya.

Sementara itu, dalam acara 100 m wanita, pelari Sabah Nur Aishah Rofina Aling dinobatkan sebagai ratu pecut Terbuka Malaysia 2026 selepas memenangi acara berkenaan dengan catatan masa 11.70s.

Atlet Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira terpaksa akur di tempat kedua yang hanya dibezakan 0.01s manakala tempat ketiga dimenangi wakil pasukan Malaysia University Fatin Ilyana May Nayan 12.03s.

Bagi Nur Aishah Rofina, beliau gembira kerana berjaya memecahkan rekod peribadi terbaik sebelum ini, iaitu 11.76s

Katanya, catatan masa hari ini sememangnya sesuatu yang sukar dan perlu menunggu hingga enam bulan sebelum dapat melakukannya.

Sementara itu, dalam acara lontar peluru lelaki, Jonah Chang Anak Rigan menepati ramalan apabila memenangi pingat emas selepas mencatat balingan 18.30 m. 

Beliau mengenepikan cabaran Muhammad Ziyad Zolkefli yang mewakili Selangor dengan catatan 16.15 m dan atlet Johor Farm Loong Deng (15.33 m).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan