KOTA BHARU, 20 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) membangunkan model pemerkasaan komuniti berasaskan keusahawanan sosial dikenali sebagai UMK@Pondokpreneur yang berjaya membantu komuniti pondok menjana jualan melebihi RM2,000 sehari ketika program promosi dan pemasaran dijalankan.
Pengarah InsPeK UMK Dr Ahmad Fahme Mohd Ali berkata program di bawah Program Lembah Barakah: Hub Perusahaan Sosial Pemprosesan Produk Hiliran itu dibiayai sepenuhnya menerusi Geran Translasional Kementerian Pendidikan Tinggi 2023 dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah.
Beliau berkata inisiatif berkenaan menggabungkan pembangunan modal insan, pemindahan teknologi tepat guna, inovasi sosial dan penjanaan pendapatan komuniti dalam satu ekosistem keusahawanan yang saling melengkapi.
“Peranan InsPeK sebagai arkitek sosial dalam program ini membuktikan komitmen berterusan universiti dalam meletakkan agenda pemindahan ilmu dan inovasi sosial sebagai teras sumbangan kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Ahmad Fahme berkata fasa awal program melibatkan 30 peserta daripada komuniti pondok terdiri daripada 15 lelaki dan 15 wanita dengan kumpulan penyelidik diketuai Prof Madya Dr Derweanna Bah Simpong bersama pakar dalam bidang pembangunan komuniti, teknologi makanan dan keusahawanan.
Beliau berkata peserta dibimbing menguasai teknologi pemprosesan produk hiliran bagi menghasilkan produk bernilai komersial tinggi, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti pondok di negeri berkenaan.
Sementara itu, Derweanna berkata keunikan UMK@Pondokpreneur terletak pada pendekatan yang mendahulukan pembangunan insan sebelum elemen teknikal diperkenalkan kepada peserta.
Beliau berkata majoriti peserta yang terdiri daripada golongan senteri dan guru pondok tidak mempunyai pengalaman formal dalam bidang perniagaan, justeru mereka terlebih dahulu mengikuti 15 siri bengkel intensif yang memberi tumpuan kepada pembentukan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan pemikiran keusahawanan.
Menurut Derweanna, program itu turut memperkenalkan teknologi pengeringan hibrid komersial atau Commercial Hybrid Insoler Dryer yang menggabungkan tenaga solar dengan sistem sokongan pintar bagi meningkatkan kecekapan proses pemprosesan makanan.
“Teknologi ini membolehkan proses pengeringan dijalankan dalam persekitaran lebih terkawal, cekap dan konsisten serta memenuhi piawaian keselamatan dan kebersihan makanan,” katanya.
Derweanna berkata menerusi projek itu, komuniti pondok berjaya menghasilkan tiga produk hiliran utama, iaitu Perasa Bilis, Ikan Bekok dan Ikan Kering menggunakan sumber tempatan sebagai bahan asas.
Beliau berkata produk berkenaan dipasarkan di bawah jenama Meheliah Ocean selepas melalui analisis nutrisi dan penilaian kualiti bagi menjamin keselamatan makanan serta memenuhi keperluan pengguna.
“Kejayaan projek ini amat memberangsangkan apabila aktiviti jualan yang dijalankan komuniti mencatatkan nilai melebihi RM2,000 sehari semasa beberapa program pemasaran.
“Ini membuktikan produk yang dibangunkan mempunyai daya saing tinggi serta berpotensi menjadi sumber pendapatan alternatif yang mampan kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata penubuhan Meheliah Ocean sebagai premis perusahaan sosial komuniti akan menjadi pusat pemprosesan produk hiliran dan hab pembangunan keusahawanan bagi memastikan kesinambungan aktiviti ekonomi komuniti termasuk pengeluaran produk, latihan kemahiran serta pengembangan pasaran selepas tamat tempoh pembiayaan universiti.
-- BERNAMA
