TEHRAN, 21 Jun (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Tumpuan Iran semasa rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) di Switzerland adalah terhadap pelaksanaan peruntukan memorandum persefahaman yang menetapkan penamatan pertempuran di semua medan, penarikan balik sekatan ke atas eksport minyak Iran serta pencairan aset Iran yang dibekukan, kata jurucakap Kementerian Luar Iran Ismail Baghaei pada Ahad, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Menurut Perkara 13 memorandum persefahaman itu, permulaan rundingan mengenai perjanjian muktamad bergantung pada pelaksanaan Perkara 1, 4, 5, 10 dan 11. Tanpa pelaksanaan peruntukan-peruntukan ini, khususnya Perkara 1 (penamatan perang di semua medan, termasuk di Lubnan), adalah mustahil untuk beralih ke peringkat rundingan mengenai perjanjian muktamad.
"Rundingan hari ini tertumpu kepada pelaksanaan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, khususnya Perkara 1, selain menyemak langkah-langkah yang diperuntukkan bagi pelaksanaan Perkara 10 (isu eksport minyak Iran) dan Perkara 11 (pencairan aset Iran yang dibekukan)," tulis Baghaei menerusi akaun rasmi platform media sosial X miliknya.
Perkara 1, 4 dan 5 memorandum itu memperuntukkan gencatan senjata kekal dan prinsip tidak saling menyerang antara Iran dan AS, penarikan balik sekatan tentera laut AS, pengunduran tentera AS yang berada berhampiran serta pemulihan pelayaran komersial yang selamat melalui Selat Hormuz, di samping perbincangan serantau mengenai pentadbiran masa depannya.
Perkara 10 dan 11 pula memperuntukkan pengecualian oleh AS bagi eksport minyak Iran dan perkhidmatan kewangan berkaitan, selain pencairan aset serta dana Iran yang dibekukan mengikut prosedur yang dipersetujui bersama.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
