Oleh Amiril Muttaqien Meketar & Muhammad Zulkarnain Mohd Azman
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Setiap kejayaan sukan pasti ada wiranya. Atlet yang menjaringkan gol kemenangan, pemain badminton yang melakukan smash penentu dan pelumba basikal pertama melintasi garisan penamat.
Namun, di sebalik berita yang mencetuskan perasaan bangga rakyat Malaysia, terdapat sekumpulan individu yang namanya jarang sekali disebut - wartawan sukan yang diamanahkan untuk merakamkan detik-detik singkat kemenangan itu menjadi memori kekal pada halaman sukan.
Selama berdekad-dekad, mereka bertugas dari kawasan dikhususkan kepada pengamal media untuk mendokumentasikan suka duka dunia sukan Malaysia sambil berlumba mengejar tarikh akhir yang ketat.
Tidak ramai yang dapat memahami tanggungjawab itu lebih baik daripada bekas Ketua Meja Sukan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Tham Choy Lin yang menghabiskan lebih sedekad membuat liputan peristiwa sukan terbesar negara.
Mengimbas kembali, wanita berusia 65 tahun itu berkata ada satu tahun yang kekal terpahat dalam ingatannya berbanding tahun-tahun lain.
“1992 sememangnya tahun yang bersejarah bagi kami semua,” katanya kepada Bernama.
Tham berkata 1992 menamatkan penantian 25 tahun Malaysia untuk merampas semula Piala Thomas di Stadium Negara dan tahun badminton membuat penampilan sulung pentas Olimpik yang seterusnya menyaksikan gandingan adik-beradik Datuk Razif Sidek dan Datuk Seri Jalani membawa pulang pingat Olimpik pertama negara.
Ia juga tahun Malaysia memenangi bidaan untuk menganjurkan Sukan Komanwel 1998, sekali gus menjadi negara Asia pertama yang diamanahkan untuk menganjurkan temasya sukan yang berlangsung empat tahun sekali itu.
Mengenai kejayaan Piala Thomas 1992, Tham berkata ramai wartawan sukan tempatan menyifatkan malam itu sebagai antara kemuncak kerjaya mereka apabila menyaksikan Malaysia merampas semula gelaran berprestij dalam sukan itu, lebih-lebih lagi dengan menewaskan musuh ketat Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir.
“Kita (pasukan Malaysia) sememangnya bukan pilihan. Tidak, bukan sehingga kita menewaskan China 3-2 pada separuh akhir dan selepas itu, harapan mula melonjak,” katanya.
Tham berkata suasana di Stadium Negara yang dipenuhi penonton ketika itu bergema dengan sorakan sebaik sahaja Malaysia mengesahkan kejuaraan sejurus selepas tengah malam.
Ketika penyokong bersemangat meraikan kemenangan itu, beliau berkata ramai wartawan tempatan melanggar antara peraturan paling suci dalam profesion tersebut.
“Dalam kewartawanan sukan ada satu peraturan, iaitu tidak boleh bersorak di kawasan khusus media. Tetapi kami semua melakukannya! Kami semua bersorak untuk pasukan Malaysia,” katanya.
Hanya berselang beberapa bulan selepas itu, Tham menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila Razif dan Jalani menghadiahkan pingat Olimpik pertama Malaysia, iaitu pingat gangsa pada Sukan Olimpik Barcelona 1992.
Wartawan sukan New Straits Times Farah Azharie pula berkata kelayakan Malaysia ke Piala Asia AFC 2023 di Qatar selepas penantian 43 tahun bukan hanya menjadi perjalanan yang mengubah pasukan bola sepak kebangsaan tetapi juga meninggalkan kesan mendalam kepada mereka yang bertugas mendokumentasikan kebangkitan pasukan negara.
“Satu perkataan - kelu. Kerana menjadi sebahagian daripada sesuatu yang kita terlibat membuat liputan dari awal,” katanya.
Farah menyifatkan pencapaian itu sebagai sangat bermakna kerana diperoleh berdasarkan merit dan bukannya melalui kelayakan automatik.
Farah berkata kempen penuh semangat Malaysia di Qatar, terutamanya keputusan seri dramatik 3-3 menentang pasukan gergasi Korea Selatan menjadi antara detik paling diingatinya dalam kempen tersebut.
Beliau berkata keputusan itu memaksa ramai wartawan menulis semula laporan perlawanan mereka hanya beberapa minit sebelum wisel penamat.
“Pada awalnya, kami menulis Malaysia kalah bermaruah namun perlu menukar sudut laporan kerana kita memperoleh mata pertama dalam Piala Asia selepas 43 tahun,” katanya.
Sementara itu, wartawan sukan veteran Rizal Hashim menyifatkan kelayakan bola sepak pra-Olimpik 1999 di Hong Kong sebagai antara tugasan tidak dapat dilupakan dalam kerjayanya, bukan kerana aksi di padang tetapi kekecohan yang tercetus selepas itu.
Mengimbas kembali, Rizal berkata gol penyamaan saat akhir Nepal mencetuskan kekecohan di stadium dengan penyokong menyerang pemain Malaysia selain pas akreditasinya dirampas, sehingga beberapa wartawan termasuk dirinya mencari perlindungan di bilik VIP yang diduduki Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bekas Ketua Meja Sukan Berita Harian Norbakti Alias pula mengingati perlawanan akhir Piala Thomas 1994 di Jakarta, Indonesia sebagai antara tugasan mencabar baginya apabila sambutan oleh penyokong tuan rumah bertukar kecoh termasuk botol dibaling ke arah kontinjen Malaysia.
Beliau berkata apabila ketegangan memuncak, pemain, pegawai dan wartawan terpaksa mencari perlindungan dengan penyampaian pingat akhirnya berlangsung di bilik persalinan, yang pada pandangannya, menjadi peringatan bahawa pelaporan sukan ada kalanya boleh meletakkan wartawan pada situasi luar biasa.
-- BERNAMA
