AM

SHUTTLE SELATAN GUNA TREN DIESEL SEMENTARA TUNGGU TREN EMU BAHARU TIBA - LOKE

20/06/2026 12:29 PM

JOHOR BAHRU, 20 Jun (Bernama) -- Perkhidmatan Shuttle Selatan yang menggunakan tren diesel adalah langkah interim sementara menunggu ketibaan tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) baharu, bagi memastikan rakyat di negeri ini tidak perlu menunggu lama.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menyediakan subsidi antara RM11 juta hingga RM15 juta setahun agar lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat pengangkutan awam berasaskan rel itu.

"Oleh itu, kita ada dua pilihan sama ada tunggu dua hingga tiga tahun untuk 10 set tren EMU baharu siap dibina atau gunakan tren yang sudah ada ini sekarang supaya rakyat Johor tidak perlu menunggu lebih lama.

"...tren EMU baharu akan tiba pada masanya. Tapi selagi rakyat boleh gunakan perkhidmatan ini sekarang, tidak ada sebab untuk menunggu," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau menjelaskan tren diesel itu tidak lagi diperlukan apabila projek landasan berkembar elektrik Gemas–JB siap dan digantikan dengan perkhidmatan tren elektrik (ETS) bagi laluan tersebut.

Perkhidmatan Shuttle Selatan yang menghubungkan Kulai, JB Sentral dan Pasir Gudang menawarkan alternatif perjalanan lebih pantas dan selesa kepada pengguna, dengan perjalanan dari Kulai ke JB Sentral mengambil masa sekitar 40 minit, manakala perjalanan dari Kempas Baru ke Pasir Gudang mengambil masa sekitar 40 hingga 45 minit.

Beliau berkata laluan Kempas Baru-Pasir Gudang yang sebelum ini hanya digunakan untuk kargo kini telah dibuka untuk penumpang buat pertama kalinya. 

Sebelum ini ada pihak yang mempersoalkan perkhidmatan tersebut menggunakan tren lama dan minyak diesel dengan tambang yang didakwa tiga kali ganda lebih mahal berbanding di Kuala Lumpur serta Seremban.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan