AM

TUN RAMLI RAKAM PENGHARGAAN KEPADA KEMENTERIAN KOMUNIKASI ANJUR SAMBUTAN HAWANA

20/06/2026 03:08 PM

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi atas inisiatif menganjurkan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) secara bergilir di negeri-negeri, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk lebih menghargai peranan dan sumbangan institusi media dalam pembangunan negara.

Beliau berkata pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah HAWANA pada tahun ini, merupakan satu penghormatan besar kepada negeri itu yang terus berkembang sebagai sebuah negeri maju, dinamik dan berdaya saing.

“Saya amat berbesar hati menghadiri dan meraikan para pengamal media dari seluruh negara serta rantau ASEAN dalam Majlis Makan Malam bersempena dengan sambutan HAWANA 2026 yang berlangsung semalam.

“Saya mengalu-alukan kehadiran para delegasi, pengamal media, pengamal komunikasi serta wakil media antarabangsa, yang berkampung di Pulau Pinang bagi menjayakan sambutan itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tun Ramli berkata HAWANA bukan sahaja menjadi medan penghargaan kepada warga media termasuk  wartawan veteran yang telah banyak berjasa, malah turut mengukuhkan jaringan kerjasama dan persahabatan antara organisasi media pada peringkat serantau.

Beliau berkata media memainkan peranan penting sebagai jambatan penyampai maklumat, pencetus pemikiran serta pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang berilmu dan bermaklumat.

"Semoga sambutan HAWANA 2026 terus memperkukuh profesionalisme kewartawanan serta mengangkat martabat industri media ke tahap yang lebih cemerlang pada masa hadapan," katanya.

Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri bersempena dengan HAWANA 2026 bersama Yang Dipertua Negeri yang berlangsung di sini malam tadi, menghimpunkan hampir 350 tetamu terdiri daripada pengamal media, ketua pengarang, pengurusan tertinggi organisasi media tempatan dan antarabangsa, wartawan veteran serta pemimpin kerajaan negeri.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes serta Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak.

Kira-kira 1,000 pengamal media khususnya wartawan termasuk dari beberapa negara ASEAN berkumpul di Pulau Pinang bermula semalam, bagi menghadiri Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, hari ini.

Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 itu dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana bagi menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan