DUNIA

BERNAMA-TATOLI JALIN KERJASAMA PERKONGSIAN BERITA, LATIHAN KEWARTAWANAN

20/06/2026 11:34 PM

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Timor-Leste, Agência Noticiosa de Timor-Leste (TATOLI) telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi mengeratkan kerjasama media antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata MOU itu akan memastikan kerjasama lebih mendalam dalam perkongsian berita, foto dan kandungan multimedia, selain latihan dan kursus kewartawanan.

Beliau berkata kerjasama itu bukan sahaja dapat memantapkan lagi kedudukan Bernama di peringkat serantau dan global, malah dapat memastikan suara dan naratif rantau ASEAN dibentuk oleh agensi berita tempatan.

“Penduduk di Timor-Leste, yang merupakan negara anggota ASEAN ke-11, boleh mendalami pengetahuan mengenai Malaysia melalui berita Bernama yang disiarkan di platform TATOLI yang menggunakan empat bahasa iaitu Tetum, Portugis, bahasa Indonesia dan Inggeris.

“Bernama yang kini melaporkan dalam enam bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Mandarin, Arab dan Sepanyol, turut menimbang untuk mewujudkan terjemahan bahasa Portugis susulan memorandum ini, sekali gus membolehkan Bernama menjangkau demografi penutur bahasa tersebut di seluruh dunia,” katanya.

Pertukaran memorandum persefahaman itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes serta disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth hari ini.

Turut sama, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

MOU itu ditandatangani oleh Nur-ul Afida dan Presiden TATOLI Noémio Mateus Soares Falcão bagi pihak agensi masing-masing, baru-baru ini.

Menurut Nur-ul Afida, TATOLI mula menyuarakan hasrat untuk menjalin kerjasama itu sebelum Timor-Leste secara rasmi menjadi anggota ASEAN pada Oktober 2025, dan Bernama secara serius mengkaji idea berkenaan bagi memastikan situasi menang-menang termasuk untuk petugas kedua-dua organisasi.

Menerusi kerjasama itu, sekumpulan wartawan dari Timor-Leste dijangka menjalani latihan di Bernama sebelum akhir tahun ini.

Menurut Nur-ul Afida, Bernama memiliki editor dan tenaga pengajar khusus dalam bidang tertentu di pelbagai platform seperti berita dalam talian, televisyen, media digital, radio dan foto untuk berkongsi pengalaman bersama TATOLI.

Beliau berkata Bernama turut memiliki lebih 20 tahun pengalaman mengendalikan latihan dan mempunyai Pusat Kecemerlangan Bernama yang mengendalikan Bernama School of Journalism.

“Justeru, Bernama yakin dapat melatih petugas TATOLI dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Falcão menegaskan komitmen agensi berkenaan untuk memperkukuh kerjasama dan berkongsi pengalaman dengan Bernama.

Beliau berkata melalui perkongsian dan dialog yang membina, kedua-dua agensi boleh memantapkan keupayaan profesional wartawan, mempromosikan inovasi dalam sektor media, serta menyumbang kepada pembangunan persekitaran maklumat yang bebas, bertanggungjawab dan bermanfaat untuk masyarakat secara keseluruhan.

“Bagi pihak semua rakan sekerja di TATOLI, sebagai agensi berita rasmi Timor-Leste, saya amat menghargai usaha Malaysia untuk terus mempromosikan kebebasan akhbar, etika kewartawanan dan hak rakyat untuk mengakses maklumat yang tepat serta boleh dipercayai,” katanya.

Falcão berkata nilai-nilai ini amat penting dalam dunia hari ini, di mana maklumat bergerak pantas merentasi pelbagai platform digital.

“Persekitaran ini menuntut tanggungjawab yang besar dalam media sosial bagi memastikan berita yang diterima oleh orang awam adalah berasaskan fakta, ditentusahkan dan berpandukan prinsip kewartawanan profesional,” katanya.

Bernama ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 6 April 1967 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 1967, sempena ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara.

TATOLI ditubuhkan pada 2016 dan bertanggungjawab untuk menyebarkan maklumat rasmi daripada Kerajaan Timor-Leste.

HAWANA 2026, yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana, turut dihadiri oleh Setiausaha Rendah Negara Kementerian Penerangan Kemboja Prak Thaveak Amida, Setiausaha Tetap Pejabat Kabinet Kementerian Teknologi dan Komunikasi Laos Phuangpasert Keosouvanh, serta pengamal media.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan