JENAYAH & MAHKAMAH

26 RUMAH DI PERLIS TERJEJAS AKIBAT RIBUT

20/06/2026 04:31 PM

KANGAR, 20 Jun (Bernama) -- Sebanyak 26 rumah dilaporkan terjejas dalam kejadian ribut di beberapa kawasan di Kangar dan Arau petang semalam, namun jumlah itu dijangka meningkat susulan proses pengumpulan maklumat serta laporan di lapangan masih diteruskan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata dalam kejadian kira-kira 2.40 petang itu, kebanyakan kediaman penduduk rosak pada bahagian bumbung.

"Jumlah ini dijangka bertambah memandangkan masih terdapat mangsa yang belum membuat laporan dan pegawai masih berada di lapangan untuk mendapatkan maklumat tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Izaimi berkata anggota APM digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan serta penilaian awal terhadap tahap kerosakan dan keperluan bantuan kepada penduduk terlibat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor berkata bagi kerosakan kediaman, mangsa diminta membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membolehkan penilaian bantuan dibuat mengikut kategori kerosakan.

Beliau berkata JKM akan memberikan bantuan melibatkan kerosakan kecil manakala kerosakan teruk atau besar akan dirujuk kepada MAIPs untuk pertimbangan bantuan.

Selain itu, Mohd Nazim juga meminta semua mangsa terlibat segera membuat laporan polis dan JKM supaya semakan dapat dibuat sebelum tindakan susulan serta penyaluran bantuan dilaksanakan agensi berkaitan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan