BEIRUT, 20 Jun (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya lima terkorban dalam serangan udara terbaharu oleh tentera Israel di selatan Lubnan pada awal pagi Sabtu, lapor Agensi Anadolu Ajansi memetik sebuah akhbar tempatan.
Serangan itu tetap berlaku meskipun perjanjian gencatan senjata dilaporkan telah berkuat kuasa.
Menurut Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan, jet pejuang Israel menyasarkan beberapa kawasan termasuk pekan Upper Nabatiyeh, Nmeiriyeh, Choukin, Habboosh, Kfarjouz, Arabsalim, Zibdin, Sajd, Mahmoudiyeh dan Deir Zahrani.
Tiga mangsa disahkan terkorban dalam serangan di Pekan Arabsalim, manakala seorang lagi maut dalam serangan di Deir Zahrani.
Sementara itu, satu lagi serangan dron yang menyasarkan sebuah motosikal di pintu masuk pekan Doueir turut mengorbankan seorang mangsa.
Dalam perkembangan sama, artileri Israel dilaporkan membedil kawasan sekitar pusat bandar Nabatiyeh pada awal pagi Sabtu.
Berdasarkan data pihak berkuasa Lubnan, serangan ketenteraan Israel di negara itu telah mengorbankan lebih 3,980 orang, mencederakan lebih 12,000 yang lain, selain menyebabkan lebih satu juta penduduk hilang tempat tinggal sejak 2 Mac lepas.
Serangan terbaharu ini berlaku ketika perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah sepatutnya mula berkuat kuasa pada Jumaat.
Ia juga menyusul selepas pengumuman perjanjian antara Amerika Syarikat dan Iran baru-baru ini, yang dilaporkan mengandungi peruntukan bagi menamatkan permusuhan di semua barisan hadapan, termasuk di Lubnan.
-- BERNAMA-ANADOLU
