Oleh Yasmin Damia Mohd Rizal & Siti Nur Athirah Abdullah
BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Penyediaan kemudahan untuk pengamal media yang serba lengkap dan kondusif sempena Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth menerima pujian golongan berkenaan yang menyifatkannya sebagai membantu kelancaran liputan.
Rata-rata mereka berpuas hati dengan kemudahan Media@Work yang dilengkapi ruang kerja selesa, bekalan kuasa mencukupi, sistem audio visual dan capaian Internet.
Wartawan Air Times News Network Zaki Salleh, 38, berkata konsep ruang kerja terbuka itu amat praktikal dan mesra petugas.
“Ruang kerja media yang disediakan di sini amat bagus dan selesa. Konsepnya adalah terbuka dan tidak mengongkong yang membolehkan pergerakan keluar masuk pengamal media menjadi lebih mudah berbanding konsep bilik tertutup di sesetengah acara lain,” katanya kepada Bernama.
Zaki yang juga bekas wartawan akhbar Kosmo! dan pernah bertugas di negeri ini pada 2009 hingga 2013 berkata kemunculan PICCA sebagai lokasi baharu memberi kelebihan besar kepada penganjur acara berskala besar.
“Kedudukannya yang terletak di luar kawasan pulau utama menjadikannya lebih mudah diakses tanpa perlu mengharungi kesesakan di dalam pulau,” katanya.
Jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohd Fairuz Azmi, 38 berkata ruang kerja di Media@Work yang kondusif dan lengkap memudahkan urusan wartawan untuk membuat liputan.
“Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik untuk kami petugas media menjalankan kerja. Ruang kerja sangat selesa dan ruangan parkir juga banyak untuk pengunjung,” katanya.
Beliau berkata susun atur pusat media itu juga lebih sistematik apabila kawasan pendaftaran diasingkan daripada ruang kerja media, sekali gus mengurangkan kesesakan dan memberi lebih ruang kepada petugas untuk bergerak.
Sementara itu, wartawan RTM, Hidayah Anuar, 47, menyifatkan fasiliti di Media@Work memenuhi keperluan liputan acara berskala besar, termasuk bagi petugas media antarabangsa.
“Ruang yang luas dan kemudahan teknikal yang disediakan membantu melancarkan urusan liputan,” katanya.
Wartawan Kosmo! Luqman Ridhwan Mohd Nor, 38, pula memuji aspek logistik termasuk kemudahan parkir dan akses mudah ke lokasi, selain berharap kemudahan Internet berkelajuan tinggi di situ menjadi standard penganjuran acara besar lain pada masa hadapan.
Pada masa sama, beberapa pengamal media mencadangkan agar kemudahan ruang kerja khas yang lebih mesra multimedia, seperti bilik kalis bunyi untuk rakaman suara latar dan lintas langsung, dapat dipertimbangkan pada masa hadapan.
Sebanyak 28 organisasi media termasuk TV3, RTM, Sinar Harian dan New Straits Times terlibat dalam liputan Majlis Kemuncak HAWANA 2026.
-- BERNAMA
