LABUAN, 20 Jun (Bernama) -- Lembaga Pelabuhan Kemaman (LPKmn), Lembaga Pelabuhan Kuantan (LPKtn) dan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) berhasrat untuk bekerjasama menyediakan kertas cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri bagi memperluas program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkaitan sektor maritim dan pelabuhan.
Pengerusi LPKmn Datuk Azan Ismail berkata cadangan itu akan memberi tumpuan untuk mewujudkan peluang yang lebih berstruktur kepada belia tempatan untuk mendapat kemahiran, pendedahan dan laluan kerjaya dalam operasi pelabuhan, logistik, pengendalian kargo, perkhidmatan marin dan bidang berkaitan yang lain.
Menurutnya sektor pelabuhan tidak sewajarnya dilihat sebagai industri eksklusif yang terhad kepada golongan tertentu, sebaliknya perlu ditawarkan kepada lebih ramai belia Malaysia terutama melibatkan komuniti berhampiran kawasan pelabuhan.
“Sektor pelabuhan menawarkan peluang kerjaya yang luas, namun ramai generasi muda mungkin masih kurang peka mengenai laluan kemahiran dan latihan yang disediakan untuk menceburi sektor ini.
“Kami berhasrat melihat lebih banyak program TVET berkaitan sektor pelabuhan supaya belia tempatan dapat dilatih, diperkasakan dengan kemahiran dan diberikan peluang untuk menyertai sektor ekonomi yang penting ini,” katanya semasa lawatan kerja delegasi LPKmn dan LPKtn ke LPL di sini hari ini.
Azan berkata kertas cadangan itu akan menyatakan pandangan bersama ketiga-tiga pihak mengenai keperluan untuk memperkukuh pembangunan modal insan dalam sektor pelabuhan.
Menurutnya pendekatan TVET yang lebih berfokus akan membantu melahirkan generasi baharu tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan masa depan pelabuhan, termasuk dalam bidang pengendalian kargo, pematuhan keselamatan, operasi peralatan, perkhidmatan sokongan marin, penyelarasan logistik dan pentadbiran pelabuhan.
“Pelabuhan bukan semata-mata melibatkan kapal dan kargo, malah memerlukan tenaga kerja mahir, pengetahuan teknikal, disiplin serta pemahaman operasi yang kukuh.
“Sekiranya lebih ramai generasi muda diperkenalkan kepada sektor ini melalui TVET, kita dapat membantu membina kumpulan bakat yang lebih kukuh untuk industri pelabuhan dan logistik negara,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar LPL Mizool Amir Mat Drus berkata pihaknya menyokong cadangan itu, terutama berikutan ketiga-tiga lembaga pelabuhan itu turut terlibat dalam mengawal selia dan memudah cara aktiviti pelabuhan berkaitan sektor minyak dan gas (O&G).
“Sektor maritim dan pelabuhan menawarkan pelbagai peluang kerjaya teknikal dan operasi, termasuk bidang pengendalian kargo, perkhidmatan sokongan O&G, keselamatan, logistik dan operasi pelabuhan.
“Dengan memperkukuh program TVET berkaitan sektor pelabuhan, kita dapat membuka lebih banyak peluang kepada belia tempatan untuk membina kemahiran dan menyertai industri yang menyokong perdagangan dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Mizool berkata kerjasama itu juga membolehkan ketiga-tiga pihak untuk memberikan input praktikal berdasarkan persekitaran operasi dan keperluan industri masing-masing.
Menurutnya langkah itu akan membantu memastikan sebarang program TVET yang dicadangkan untuk sektor pelabuhan benar-benar relevan, dipacu oleh keperluan industri dan berupaya memenuhi keperluan tenaga kerja pada masa hadapan.
-- BERNAMA
