KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pelumba muda negara Muhammad Haziq Mohamad Akhir meraih pingat pertama dalam penampilannya di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia apabila menjuarai acara 200 meter (m) lelaki di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini hari ini.
Pelari berusia 23 tahun yang mewakili Malaysia University itu mencatat masa 21.38 saat (s) untuk mengatasi cabaran Muhammad Muzaffarshah Abdul Sahidu dari Sabah yang meraih perak dengan catatan 21.39s, manakala gangsa menjadi milik Muhammad Umaira Subri dari Kedah (21.59s).
Kejayaan tersebut hadir meskipun Muhammad Haziq gagal memperbaharui catatan terbaik peribadinya musim ini iaitu 21.01s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Varsity Track and Field pada Jun tahun lepas.
Menurut atlet kelahiran Selangor itu, kemenangan berkenaan cukup bermakna kerana menjadi pingat sulungnya di pentas Terbuka Malaysia.
“Bagi saya, ini kejohanan yang besar. Saya sangat berbangga dan bersyukur kerana ini merupakan pingat pertama saya di Terbuka Malaysia.
“Insya-Allah, ini saya anggap sebagai satu titik permulaan untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang,” katanya ditemui selepas perlumbaan.
Kemenangan itu turut meningkatkan keyakinan Haziq menjelang Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang akan berlangsung dari 10 hingga 20 Dis ini.
Sementara itu, pelari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira menjuarai acara 200m wanita dengan catatan 24.62s.
Franceine Jhobie Rosario dari Filipina meraih pingat perak selepas mencatat masa 25.01s, manakala gangsa menjadi milik Nur Aliya Najihah Muda dari Terengganu dengan catatan 25.19s.
-- BERNAMA
