AM

KKM KAJI PELAKSANAAN SISTEM 'E-MC' BENDUNG SINDIKET SIJIL SAKIT PALSU - DZULKEFLY

20/06/2026 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji pelaksanaan Sijil Cuti Sakit Digital (e-MC) sebagai langkah membendung penyelewengan, pemalsuan dan kecurian identiti pengamal perubatan oleh sindiket sijil sakit palsu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Bahagian Kesihatan Digital KKM telah diarahkan untuk segera membuat kajian bagi merealisasikan peralihan sistem cuti sakit kepada platform digital yang lebih selamat.

"Sijil cuti sakit (MC) hanya boleh diberikan oleh seorang doktor atau pegawai perubatan yang merawat pesakit. Ini adalah satu perkara yang jelas. Kes salah laku etika ini adalah isu yang agak serius dan KKM tidak akan berkompromi sama sekali.

"Mungkin ini juga adalah satu isyarat jelas untuk kita mula bergerak ke arah sistem digital atau e-MC. Ini adalah jalan ke hadapan untuk kita meminimumkan salah guna," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Cik Era Naik MRT di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Tun Razak Exchange (TRX) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes membabitkan lima individu termasuk seorang jururawat di Pekan, Pahang yang direman bagi membantu siasatan kes penjualan dan pembelian MC yang disyaki tidak sah serta kewujudan sindiket laman web 'Holiday Master' yang aktif memalsukan nama doktor dan klinik swasta sejak 2016.

Mengenai sindiket 'Holiday Master' yang dikesan mencuri nombor pendaftaran profesional pengamal perubatan swasta bagi mengaut keuntungan, Dzulkefly berkata kes berkenaan kini di bawah siasatan Majlis Perubatan Malaysia.

"Majlis Perubatan Malaysia akan menjadi agensi utama yang menerajui tindakan ini dan mereka akan bekerjasama rapat dengan pihak penguatkuasa undang-undang. KKM juga akan melihat implikasi daripada sudut pencerobohan data dalaman bagi memastikan identiti doktor-doktor kita tidak sewenang-wenangnya disalah guna," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly turut mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai medium untuk mendiagnosis penyakit sendiri, terutamanya bagi penyakit kronik berisiko tinggi seperti kanser dan masalah jantung.

Beliau berkata isu penggunaan AI dalam sektor kesihatan kini semakin kerap dibincangkan awam namun aspek keselamatan dan ketepatan klinikal pesakit tetap menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

"Saya menggesa seandainya ada apa-apa masalah kesihatan, segera merujuk kepada pengamal perubatan sama ada di pihak awam mahu pun swasta, sama ada di klinik-klinik pengamal am (GP), klinik-klinik kerajaan, mahu pun hospital awam. Jangan tanggung ini sendiri.

"Kita tidak boleh melakukannya secara kaedah buat sendiri (DIY) berasaskan AI. Macam mana pun kehebatan teknologi AI tersebut, jangan kita ambil ia sebagai sumber mutlak untuk membuat keputusan perubatan, sama ada sifatnya penyaringan ataupun pengesahan ," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan