JENAYAH & MAHKAMAH

TEKNOLOGI, PROFESIONALISME PASUKAN ANTARA FOKUS KETUA POLIS P. PINANG BAHARU

22/06/2026 01:03 PM

GEORGE TOWN, 22 Jun (Bernama) -- Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Dennis Lim Kwang Keng dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu berkuat kuasa Sabtu lepas.

Lim, 57, menggantikan Datuk Azizee Ismail yang bersara wajib selepas berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih 34 tahun.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas berlangsung di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini yang disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.

Sementara itu, Lim berkata terdapat tiga fokus utama yang akan diberi perhatian, iaitu mengoptimumkan penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), memperkukuh profesionalisme pasukan dan mengutamakan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata polis terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat atau badan korporat yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi dan AI bagi membantu memperkasakan penyampaian perkhidmatan serta keupayaan pasukan.

"Jenayah kini semakin kompleks dan bersifat tanpa sempadan, khususnya jenayah siber. Justeru, polis perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi bagi menghadapi cabaran keselamatan masa depan,'' katanya ketika sesi pertemuan bersama pengamal media di sini hari ini.

Sementara itu, Lim berkata beliau akan berusaha memastikan keamanan dan ketenteraman negeri itu terus terpelihara dengan sokongan seluruh warga PDRM di setiap peringkat, selain menyeru penglibatan aktif masyarakat dan agensi kerajaan dalam menangani faktor yang boleh menyumbang kepada jenayah.

"Kerjasama antara masyarakat dan polis sangat baik dan ini merupakan faktor penting yang menyumbang kepada keselamatan negeri ini," katanya. 

Dalam masa sama, beliau berkata semua anggota polis diingatkan agar sentiasa mengutamakan kebajikan dan keperluan masyarakat termasuk membantu orang ramai yang berada dalam situasi kecemasan tanpa mengira latar belakang atau penampilan.

Katanya, hubungan baik antara polis dan media juga akan terus diperkukuh bagi memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat dapat dilaksanakan secara berkesan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan