AM

URUSAN TANAH PEMBANGUNAN TERMINAL KETIGA PELABUHAN KLANG SELESAI SEJAK DISEMBER - AMIRUDIN

22/06/2026 10:46 PM

SHAH ALAM, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan bahawa urusan berkaitan tanah bagi pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey telah dimuktamadkan sejak Disember tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia melibatkan kira-kira 1,012 hektar tanah kawasan dasar laut, 688 hektar tanah milik Yayasan Selangor serta baki 86 hektar tanah yang boleh dibangunkan pada bila-bila masa.

"Bagi pihak kerajaan negeri, komitmen tentang tanah itu sudah selesai. Kita sudah bersedia untuk memulakan pembangunan sebaik sahaja kelulusan diperolehi sejak awal tahun ini dan tanah untuk pelabuhan itu telah dikenal pasti oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) menerusi kajian mereka.

"Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga sedang berbincang dengan syarikat berkaitan untuk mula bangunkan tapak tersebut," katanya pada sidang media di Lobi Wisma Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Walaupun urusan penyediaan tapak telah selesai, beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan kini tertangguh sementara menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan khususnya berkaitan struktur kelulusan dan bidang kuasa pelabuhan di bawah Kementerian Pengangkutan.

Katanya, kerajaan negeri sedang menantikan panduan lanjut berikutan pandangan perundangan yang menyatakan bahawa pelabuhan perlu menjadi hak milik kerajaan Persekutuan dan tidak boleh diluluskan secara swasta.

"Kita sedang menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan sama ada mereka mahu mengambil alih projek ini atau memberikan kebenaran untuk pelaksanaan tertentu bagi membolehkan kerja pembinaan dimulakan.

"Apa yang penting sekarang adalah membina pelabuhan itu secepat mungkin kerana ia bukan bertapak di daratan, sebaliknya akan didirikan di kawasan dasar laut melalui proses penambakan tanah," katanya.

Pada 18 Jun lepas, Menteri Pengangkutan  Anthony Loke Siew Fook berkata Selangor sedang memperhalusi penyelesaian isu tanah bagi fasa awal pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey.

Beliau berkata proses berkenaan sedang diperincikan antara pihaknya dengan Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama pihak swasta untuk mewujudkan model konsesi.

--BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan