KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Malaysia sedang mengukuhkan kehadirannya di pasaran Korea Selatan dengan penyertaan terbesarnya di Ekspo Import Korea (KIE) 2026, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
MATRADE sebanyak 17 syarikat Malaysia menyertai acara itu yang berlangsung di Seoul mulai hari ini hingga 25 Jun.
Daripada 17 syarikat yang menyertai, 10 adalah daripada Program Gate to Global Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Ia merupakan penyertaan kedua berturut-turut Malaysia dalam KIE selepas penampilan sulungnya tahun lepas, sekali gus menggariskan usaha berterusan untuk merebut lebih banyak peluang perniagaan di pasaran Korea Selatan, menurut MATRADE.
“Pavilion Malaysia mempamerkan pelbagai jenis produk dan penyelesaian yang merangkumi sektor gaya hidup dan makanan serta minuman.
“Antara produk ditampilkan ialah produk kesihatan dan kesejahteraan, produk berasaskan semula jadi dan herba, detergen, snek dan manisan, sos dan perasa, makanan sedia dimakan dan makanan sejuk beku, produk sarang burung, produk pengguna isi rumah, serta produk premium yang diperakui halal,” menurut kenyataan dikeluarkan MATRADE.
Menurut MATRADE, pameran itu bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan jenama Malaysia, memudahkan pemadanan perniagaan bersasardengan pengimport tempatan, dan mengenal pasti niche pasaran baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dua hala.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata Korea Selatan merupakan pasaran yang sofistikated dan dinamik dengan pengguna semakin mencari produk yang berkualiti, inovatif dan mampan.
“Melalui platform ini, kami menyasarkan untuk memudahkan libat urus perniagaan yang bermakna, membuka peluang eksport baharu dan mengukuhkan kehadiran jenama Malaysia di pasaran Korea Selatan.
“Kami yakin bahawa pelengkap yang kuat antara kedua-dua ekonomi (Malaysia dan Korea Selatan) akan menyokong hubungan perdagangan yang lebih mendalam, sekali gus membuka jalan kepada kerjasama yang lebih besar untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.
Menurut MATRADE, memandangkan maklum balas terhadap penyertaan sulung Malaysia pada tahun lepas, pihaknya menjangkakan Pavilion Malaysia akan menghasilkan prospek perniagaan yang besar serta menjamin hubungan komersial antara pengeksport Malaysia dan pengedar Korea Selatan.
Korea Selatan kekal sebagai salah satu rakan dagang utama Malaysia dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM117.12 bilion (US$27.42 bilion) pada 2025, meningkat 6.8 peratus daripada tahun sebelumnya.
"Eksport Malaysia ke Korea Selatan berjumlah RM52.62 bilion (US$12.31 bilion), manakala import berjumlah RM64.51 bilion (US$15.11 bilion).
"Selain itu, eksport utama termasuk produk elektrik dan elektronik, gas asli cecair, produk petroleum serta jentera, peralatan dan alat ganti. Prestasi kukuh ini memberikan ruang yang ketara kepada pengeksport Malaysia untuk mempelbagaikan lagi kehadiran mereka di rantau ini,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
