KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Harga minyak dijangka bergerak dalam lingkungan US$65 hingga US$80 setong bagi tempoh enam hingga 12 bulan akan datang susulan ketidaktentuan berterusan berhubung rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata seorang penganalisis veteran pasaran minyak.
Pengarah Urusan Kumpulan Onyx Capital Jorge Montepeque berkata rundingan antara AS dan Iran menunjukkan perkembangan yang perlahan tetapi masih konsisten, namun proses itu masih rapuh berikutan ketegangan yang telah lama wujud serta isu kepercayaan antara kedua-dua negara.
“Saya menjangkakan harga minyak akan berada dalam lingkungan US$65 hingga US$80 setong, dengan kemungkinan berlaku lonjakan sekali-sekala melepasi US$80 setong sekiranya tercetus tindakan ketenteraan antara Iran dan AS.
“Bagaimanapun, pasaran minyak masih mempunyai bekalan yang besar menunggu untuk dilepaskan dari rantau Teluk Parsi dan saya percaya faktor itu akan mengekang harga minyak daripada melepasi purata US$84 setong bagi baki tahun ini,” katanya dalam program Bernama World terbitan Bernama TV bertajuk ‘Oil & Gas Markets Amid Renewed Risks’ yang disiarkan hari ini.
Montepeque berkata pasaran ketika ini mengambil kira jangkaan bahawa Selat Hormuz akan terus dibuka dan aliran bekalan minyak akan kekal berjalan seperti biasa, namun beliau mengingatkan bahawa keyakinan pasaran masih tidak stabil berikutan ketidaktentuan yang menyelubungi rundingan berkenaan.
Mengulas kerentanan Asia terhadap gangguan bekalan gas, beliau menyifatkan rantau ini sebagai “amat terdedah”.
“Malaysia berada dalam kedudukan yang baik kerana merupakan negara pengeluar, tetapi negara-negara lain amat terdedah. Jurang antara pengeluaran dan penggunaan mereka sangat tidak seimbang,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai potensi kesan peletakan jawatan Perdana Menteri United Kingdom (UK) Keir Starmer terhadap pasaran tenaga global, Montepeque berkata perkembangan itu dijangka tidak memberi impak ketara terhadap dinamik penawaran dan permintaan minyak dunia.
“Mereka (UK) merupakan pengeluar minyak yang kecil dan pengeluaran dari Laut Utara juga tidak begitu besar. Jadi, ia tidak mengubah landskap penawaran atau permintaan minyak global,” katanya.
-- BERNAMA
