EKONOMI

EDEN AT BOTANICA CT, APAM MEMETERAI MOU UNTUK INTEGRASI PEMBANGUNAN DENGAN SKIM PERSARAAN

24/06/2026 03:38 PM

GEORGE TOWN, 24 Jun (Bernama) -- Eden at Botanica CT Sdn Bhd dan AIA Pension and Asset Management Sdn Bhd (APAM) telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk menyepadukan penyelesaian Skim Persaraan Swasta (PRS) ke dalam pembangunan kehidupan warga emas, bertujuan mengukuhkan kesediaan kewangan dalam kalangan penduduk yang semakin menua di Malaysia.

Eden melalui satu kenyataan hari ini berkata kerjasama itu mencerminkan tumpuan yang semakin meningkat dalam menggabungkan penyelesaian gaya hidup dan perancangan kewangan, dengan PRS menyediakan pendekatan berstruktur untuk simpanan persaraan jangka panjang.

Di bawah perkongsian itu, pembeli unit kediaman di Eden at Botanica CT, pembangunan kediaman warga emas dalam perbandaran Botanica CT di Balik Pulau yang dijangka siap menjelang 2027, akan menerima sumbangan RM25,000 daripada pemaju ke dalam dana PRS APAM.

"Pembeli yang layak juga akan menerima perlindungan insurans kemalangan peribadi percuma sebagai sebahagian daripada kerjasama itu.

"Kerjasama tersebut adalah sebagai langkah strategik yang bertindak balas terhadap peralihan beransur-ansur negara ke arah menjadi ‘negara tua’, dengan 19.8 peratus daripada jumlah penduduk dan 26.2 peratus penduduk Pulau Pinang diunjurkan berumur 60 tahun ke atas menjelang 2040,” menurut kenyataan itu.

MoU itu telah ditandatangani oleh Pengarah Eden at Botanica CT dan Pengerusi Kumpulan MTT Group of Companies Datuk Seri Kenny Ong serta Pengurus Besar APAM Nur Aini Ali Kasim, dengan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Agama Bukan Islam Negeri Lim Siew Khim serta Pengarah Aset dan Hartanah Kumpulan MTT Group of Companies Leonard Theng.

Ong berkata komitmen pembangunan itu melangkaui semata-mata penyediaan penginapan, ia mahu mewujudkan ekosistem holistik yang menyokong hari tua yang sihat dan aktif.

“Kami mahu membolehkan warga emas hidup berdikari, mengakses sokongan yang mereka perlukan dan menikmati ketenangan fikiran yang lebih baik dalam tahun-tahun persaraan mereka.

"Kos penjagaan kesihatan yang semakin melonjak menjadikan perancangan persaraan semakin penting dan kerjasama dengan APAM akan membantu mengukuhkan daya tahan kewangan dalam kalangan pesara," katanya.

Sementara itu, Nur Aini berkata PRS dibangunkan untuk menangani risiko simpanan persaraan rakyat Malaysia habis  mereka dengan menggalakkan pengumpulan kekayaan yang berdisiplin dan berjangka panjang sambil menghulurkan perlindungan kemalangan peribadi percuma sehingga RM250,000.

Dengan 350 unit kediaman, pembangunan itu merangkumi komuniti bertenaga yang mengintegrasikan rumah, kesejahteraan dan hubungan bermakna.

Walaupun kediaman itu adalah bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas, ia juga mengalu-alukan penduduk menengah, termasuk ahli keluarga di bawah umur 60 tahun untuk membina persekitaran yang inklusif dan dwi-generasi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan